ELAVARASAN berkata, barisan anak buahnya tidak mudah mengangkat bendera putih. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
ELAVARASAN berkata, barisan anak buahnya tidak mudah mengangkat bendera putih. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Faktor bernasib baik antara penyumbang utama kepada kemenangan skuad Bawah 23 tahun (B-23) pada perlawanan pertama kumpulan B Piala AFF B-23 menentang Indonesia, malam tadi.

Pengendali skuad B-23 negara E Elavarasan berkata, walaupun Indonesia lebih mendominasi perlawanan namun barisan pemain negara lebih bijak manfaat peluang terhidang untuk menjaringkan gol pada pertemuan itu.

Beliau berkata, barisan anak buahnya tidak mudah mengangkat 'bendera putih' walaupun ketinggalan pada awal permainan apabila terus komited mencari gol kemenangan bagi memastikan tiga mata penting menjadi milik mereka.

"Kita menghormati Indonesia sebagai juara Sukan Sea (Sukan Sea Kemboja), kita tahu mereka juga mempunyai masalah sama seperti yang kita hadapi iaitu tidak dapat membawa skuad terbaik.

"Kadang-kadang elemen nasib memang ada dalam perlawanan, kita akui mereka mengawal perlawanan tetapi kita bernasib baik dapat peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Terdahulu, skuad B-23 negara bermula langkah kanan apabila menumpaskan juara Sukan Sea Kemboja iaitu Indonesia 2-1 pada aksi pertama Kumpulan B.

Pada perlawanan di Stadium Rayong, Thailand itu, skuad muda negara membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain seperti Aiman Afif, Syahir Bashah dan Aliff Izwan Yuslan.

Kemasukan penyerang gantian, Fergus Tierney di babak kedua nyata membawa impak besar apabila dua jaringannya menghadiahkan kemenangan 2-1.

Kemenangan itu cukup bermakna buat membolehkan skuad negara memulakan kempen dengan langkah kanan di mana anak buah Elavarasan itu disasarkan untuk mara ke pentas final.

Sementara itu, Elavarasan berkata, dua gol Malaysia yang disumbangkan Tierney membuktikan Johor Darul Ta'zim (JDT) membantu menghasilkan pemain berkualiti sekali gus mampu memastikan Malaysia meraih kemenangan pada perlawanan terbabit.

"Fergus main dengan kelab yang hebat seperti JDT jadi dia sudah pun didedahkan dengan banyak perkara di sana," katanya.

Pada perlawanan seterusnya Malaysia akan bertemu Timor Leste pada perlawanan seterusnya yang dijadualkan pada 22 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 11:31 AM