JAMIL (topi putih) ketika sesi latihan Puteri U15 Melaka. FOTO Ihsan Mafa
JAMIL (topi putih) ketika sesi latihan Puteri U15 Melaka. FOTO Ihsan Mafa
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka berazam untuk mara ke separuh akhir Liga Bolasepak Puteri Bawah 15 Tahun (U15) Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini di Putrajaya.

Jurulatih skuad berkenaan Jamil Hasan berkata, latihan agresif yang diadakan sejak 20 hari lalu pemangkin kepada keserasian dan kemantapan pasukan menjelang kejohanan bermula.

Katanya, walaupun sesi latihan bukan pengukur sebenar keupayaan pemain namun dia melihat kesungguhan yang meningkat dari masa ke semasa menjadi penentu kepada perkembangan yang meyakinkan.

Menurutnya, pada awalnya banyak kekurangan corak permainan namun usaha anak buahnya untuk memperbaiki kualiti kawalan bola dan hantaran jelas lebih matang dan bertenaga.

"Tidak mengira siapa lawan yang bakal ditentang kerana apa yang penting persefahaman jitu mampu untuk pasukan memetik mata berharga pada setiap perlawanan bagi memenuhi sasaran.

"Saya melihat saingan amat kompetitif sepanjang kira-kira dua bulan pada kejohanan anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu kelak, namun kesemua pemain berjanji untuk memastikan kutipan mata pada setiap perlawanan mampu dihasilkan," katanya.

Jamil yang memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan termasuk pernah menjadi penolong jurulatih skuad wanita Malaysia 2009-2013, jurulatih Piala Belia Melaka (2006), Piala Presiden (2007-2008), Piala Emas Raja-Raja Melaka (2014) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bagi saingan Liga FAM 2016, jelas mahu menggunakan kepakaran yang ada untuk membentuk pasukan lebih mantap.

Sebelum ini skuad U15 Melaka turut mendapat suntikan motivasi daripada Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) Datuk Khaidirah Abu Zahar yang hadir pada sesi latihan di Sekolah Sukan Negeri Melaka baru-baru ini.

Dalam masa sama Khaidirah turut menyerahkan surat pelantikan kepada barisan kejurulatihan yang di ketuai Jamil.

Hadir sama Setiausaha Agung MAFA, Datuk Karim Yaakob, Koordinator persatuan Norizam Ali Hasan dan Pengarah Kejurulatihan Leong Hong Seng.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 8:29 PM