HENDERSON akan menerima gaji mingguan sekitar £700,000 (RM4.1 juta). FOTO Agensi
HENDERSON akan menerima gaji mingguan sekitar £700,000 (RM4.1 juta). FOTO Agensi
Reuters

London: Pemain tengah England, Jordan Henderson menyertai kelab Liga Pro Saudi Al-Ettifaq dari Liverpool.

Media Britain melaporkan bahawa Al-Ettifaq akan membayar kira-kira £12 juta (RM70 juta) serta tambahan untuk Henderson, yang akan menamatkan tempoh 12 tahunnya di Anfield.

Pemain berusia 33 tahun itu akan menerima gaji mingguan sekitar £700,000 (RM4.1 juta), menurut media Britain.

Henderson mengucapkan selamat tinggal kepada peminat Liverpool dalam video yang disiarkan di media sosial.

"Sukar untuk menggambarkan 12 tahun terakhir ini dengan kata-kata dan lebih sukar untuk mengucapkan selamat tinggal. Saya akan sentiasa menjadi The Reds. Sehingga saya tiada lagi. Terima kasih untuk segala-galanya," tulisnya di akaun Instagram.

Henderson akan disatukan semula di Al-Ettifaq dengan bekas rakan sepasukan Liverpool, Steven Gerrard, yang dilantik sebagai jurulatih dengan kontrak tiga tahun pada awal Julai.

Henderson tiba di Liverpool pada 2011 dari Sunderland dan dilantik sebagai kapten selepas Gerrard berpindah ke Los Angeles Galaxy pada 2015.

Henderson bermain hampir 500 perlawanan untuk Liverpool dalam semua pertandingan dan memenangi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara serta Piala FA, dua Piala Liga, Piala Dunia Kelab dan Piala Super UEFA.

Al-Ettifaq menduduki tempat ketujuh dalam Liga Pro Saudi musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 7:54 PM