HENDERSON (kiri), James Maddison dan Harry Kane ketika sesi latihan England di St George's Park semalam. FOTO Agensi
HENDERSON (kiri), James Maddison dan Harry Kane ketika sesi latihan England di St George's Park semalam. FOTO Agensi
Agensi

London: Jordan Henderson mendakwa dia meninggalkan Liverpool kerana beranggapan tidak lagi diperlukan oleh pengurus Jurgen Klopp.

Henderson, 33, muncul antara pemain berprofil tinggi menerima tawaran mega daripada Al-Ettifaq untuk beraksi di Liga Pro Saudi.

Bintang England itu dilapor menerima gaji £700,000 (RM4.11 juta) seminggu tetapi pemain tengah veteran itu berkata dia berpindah ke Timur Tengah bukan kerana wang.

Menurutnya, keputusan untuk meninggalkan Anfield dibuat selepas berpendapat dia mungkin tidak dapat beraksi dalam kesebelasan Liverpool dengan lebih kerap berdasarkan perbincangan dengan Klopp pada musim panas.

Menurut Henderson: "Terdapat beberapa perkara yang perlu saya beri perhatian. Hubungan saya dengan Klopp sangat baik dan dia jujur dengan saya.

"Saya tak akan dedah lebih lanjut perbualan itu kerana ia privasi tetapi saya tahu saya tidak akan kerap beraksi kerana pemain baharu akan mengisi tempat saya."

Bercakap kepada The Athletic: "Jika tidak bermain, ia situasi sukar kepada saya. Saya sudah lama di kelab ini dan menjadi kapten untuk sekian lama.

"Kemudian Al-Ettifaq menyatakan minat sama ada saya mahu mahu berpindah ke sana dan kelab sekali lagi seperti sedia melepaskan saya. Saya perlu terima hakikat kelab lambat laun tidak akan perlukan saya lagi."

Henderson hanya kurang daripada 500 penampilan bersama Reds sepanjang 12 tahun kariernya di Anfield yang menyaksikan dia menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) Liga Juara-Juara dan kedua-dua trofi domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 11:24 AM