AKSI Henderson ketika bertemu Australia, Jumaat lalu. FOTO REUTERS
AKSI Henderson ketika bertemu Australia, Jumaat lalu. FOTO REUTERS
Reuters

London: Pemain tengah England, Jordan Henderson menegaskan komitmennya untuk mewakili negaranya selepas mengetuai pasukan ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Australia pada aksi persahabatan, Sabtu lalu walaupun kecewa diejek penyokong tuan rumah sebaik digantikan.

Henderson ditugaskan selaku kapten dengan Harry Kane direhatkan dan pemain berusia 33 tahun itu yang menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq, bermain selama 62 minit sebelum di keluarkan di Wembley.

Henderson berpindah ke Liga Pro Saudi dari Liverpool dengan perjanjian tiga tahun pada Julai lalu.

Penghijrahannya ke Arab Saudi, di mana homoseksualiti adalah haram, menjadi tajuk utama kerana Henderson sudah lama menjadi penyokong lantang komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Tidak bagus jika peminat sendiri mengejek anda. Tetapi orang ramai mempunyai pendapat tersendiri.

"Ia tidak akan mengubah siapa saya dan apa yang saya lakukan untuk pasukan ini dan untuk negara saya. Saya memberikan segala-galanya pada setiap masa.

"Saya masih mahu bermain untuk England selama mungkin dan memberikan segala-galanya untuk pasukan, untuk negara saya," kata Henderson.

Henderson mengakui reaksi terhadap perpindahannya ke Al-Ettifaq apabila berkata: "Saya melihatnya dari sudut pandangan yang berbeza. Tetapi saya boleh memahaminya dan saya perlu memikirkannya."

Dia juga mengulangi sokongannya terhadap pengumuman Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi yang berhasrat untuk membida Piala Dunia 2034 selepas Qatar menganjurkannya pada tahun lalu.

"Apabila melihat Qatar menganjurkan kejohanan itu, saya rasa peminat berpuas hati dan saya fikir Saudi tidak banyak berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 8:58 AM