HODAK (kiri) percaya anak buahnya akan beri 100 peratus apabila beraksi malam esok. FOTO RIZAR MOHD NOOR
HODAK (kiri) percaya anak buahnya akan beri 100 peratus apabila beraksi malam esok. FOTO RIZAR MOHD NOOR
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak menafikan khabar angin tunggakan gaji selama tiga bulan yang digembar-gemburkan menjejas konsentrasi pemainnya untuk berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala FA, di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, apa yang diperkatakan adalah tidak benar dan hanya ada sedikit kelewatan namun ia tidak menjejaskan persiapan untuk beraksi di pentas final malah para pemainnya bersikap profesional dan tampak bersemangat untuk berdepan JDT.

"Tidak benar. Ada sedikit kelewatan sahaja dan tidak menjejaskan langsung persiapan kami malah saya percaya mereka akan beri 100 peratus apabila beraksi malam esok dengan pencapaian kami dalam tempoh tiga tahun beraksi tiga final.

"Bagi saya, pasukan JDT ketika ini adalah pasukan terbaik yang kita saksikan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Mereka bukan sahaja dibarisi pemain import yang berkualiti, malah dipenuhi pemain oleh pemain tempatan yang bagus.

"Ditambah pula sepanjang 17 perlawanan Liga Super, JDT belum lagi tewas dan ini membuktikan mereka adalah pasukan terbaik di Malaysia dan pasti tekanan terhadap pasukan itu berbanding kami yang turun selaku pasukan underdog.

"Tiada tekanan terhadap kami, selepas ramai yang menjangkakan JDT adalah calon pilihan bagi menjulang Piala FA. Saya cuma mengharapkan pemain dapat beraksi dengan baik dan tuah berpihak kepada kami untuk mengejutkan JDT," katanya pada sidang akhbar pra perlawanan final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Ditanya mengenai persediaan pasukan, Hodak berkata, beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik selepas ketika aksi tewas 1-6 kepada JDT, baru-baru ini lima tonggak utama tidak dapat diturunkan dan kehadiran semula mereka bakal beri impak positif menafikan hajat skuad Harimau Selatan yang mengidam mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu.

Tanpa berselindung, Hodak mendedahkan skuad The City Boys akan beraksi secara kompak di posisi pertahanan bagi menutup segala ruang buat skuad kendalian Esteban Solari itu untuk mencipta peluang gol.

"Jika saya bermain secara open play, saya pasti menerima nasib sama seperti pertemuan terdahulu (tewas 1-6). "Oleh itu, kita kena bijak dengan bermain secara bertahan bagi mematahkan gerakan lawan dan menunggu detik untuk menyerang balas. Yang pemain perlu tenang dan bermain dengan teratur," ujarnya.

Ditanya mengenai dapat menyesuaikan diri beraksi di padang rumput jenis Zeon Zoysia, Hodak berkata, hal itu tidak menjadi masalah namun ia memberi kelebihan buat pasukan tuan rumah.

"JDT pastinya adalah kelebihan kerana mereka kerap bermain di padang ini berbanding pasukan lawan. Sebab itu jika tanya saya, tidak adil bagi kami untuk beraksi di SSI dan bukannya di gelanggang berkecuali.

"Saya mengharapkan segala persiapan menjelang pertemuan ini menghasilkan keputusan yang positif, ada masanya ia tidak jadi seperti apa yang dirancang dan memerlukan tuah untuk mencipta keajaiban.

"Saya juga harap permainan itu dikendalikan pengadil perlawanan yang tegas dan harapnya tidak ada yang bermain bunga api di luar bilik hotel pukul 3 pagi," katanya secara berseloroh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 3:52 PM