HASNIZAM Uzir. -FOTO Rizar Mohd Noor
HASNIZAM Uzir. -FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) harus mengambil sikap berwaspada akan kebangkitan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang bakal tampil dengan corak [taktikal ajaib' apabila mereka bertembung di pentas final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hujung minggu ini.

Penganalisis bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir berkata, walaupun pentas final kali ini bukanlah dianggap [final impian' ketika skuad kendalian Bojan Hodak tampak terumbang-ambing dalam kancah Liga Super (tangga ketujuh liga) tapi pengendali kelahiran Croatia itu sinomin melakar keajaiban apabila beraksi di pentas final.

Jelas Hasnizam, kelebihan terletak kepada JDT bukan sahaja beraksi di laman sendiri malah mereka dibarisi pemain yang berkualiti di setiap posisi dan reputasi mereka yang hanya dibolosi tiga gol selepas mengharungi 17 perlawanan liga membuktikan kekuatan pasukan itu.

"Bukan menidakkan keupayaan KL City FC tapi di atas kertas pasukan itu bukan sahaja perlu berdepan kesebelasan pemain JDT yang gemar bermain secara pantas dan melakukan transisi bola dengan konsisten malah perlu berdepan atmosfera stadium yang dibanjiri oleh penyokong JDT sendiri.

"Bagi saya tugas berat menanti anak didik Hodak ditambah kecederaan yang dialami Giancarlo (Gallifuoco) tampak menjejaskan persiapan pasukan itu.

"Besar kemungkinan JDT bakal turun dengan corak permainan yang berbeza dan mengamalkan aksi berintensiti tinggi malah mereka tidak boleh hilang fokus sepanjang 90 minit perlawanan," katanya.

Menurut bekas pemain Johor era 90an, JDT juga bakal berdepan corak permainan kompak skuad The City Boys yang mengamal corak [defending third' dan bingkas melakukan serangan balas yang boleh mengundang bahaya terhadap benteng skuad Harimau Selatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 11:12 AM