HODAK enggan beri tekanan kepada pemain kerana mereka sudah beri yang terbaik. FOTO AISYAH MAZALAN
HODAK enggan beri tekanan kepada pemain kerana mereka sudah beri yang terbaik. FOTO AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak mengakui permainan yang ditampilkan pasukannya selepas tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Piala Sultan Ahmad Shah tidak seperti yang diharapkan dan kerap melakukan kesilapan mudah.

Hodak berkata, corak permainan yang dipamerkan barisan pemainnya pada aksi babak pertama mengecewakan dan ia beri ruang buat skuad kendalian Benjamin Mora menghukum benteng pertahanan KL City FC untuk mencipta dua gol.

"Akibat kurang aksi persahabatan intensiti tinggi, pemain saya gagal seolah-olah tidak bermaya untuk memberi tekanan kepada JDT yang menguasai permainan di babak pertama dan kesilapan serta hilang tumpuan membuka ruang buat pasukan lawan menghukum kami.

"Namun pada aksi babak kedua, kami tampil berbeza dan mampu beri tekanan terhadap JDT di awal lima minit permainan malah memiliki dua peluang terbaik menjaringkan gol selepas bola tandukan Paolo (Josue) hampir mencipta gol untuk merapatkan jurang gol 2-1.

"Tapi serang balas JDT dan mereka menjaringkan gol menyebabkan pemain KL City FC sudah hilang konsentrasi dan tidak dapat lagi mengejar pasukan itu sehingga berakhirnya perlawanan. Apapun saya enggan beri tekanan kepada pemain kerana mereka sudah beri yang terbaik," katanya.

Ditanya mengenai persembahan pemain import baharu skuad The City Boys, Kevin Koumemba, pengendali kelahiran Croatia itu berkata, posisi pemain itu di sayap kiri dan boleh beraksi sayap kanan tapi ketiadaan Romel Morales memaksa pemain itu beraksi selaku penyerang.

Hodak juga menambah Declan Lambert membuat penampilan pertama selepas direhatkan selama enam bulan akibat kecederaan dan pemain itu yang beraksi di posisi bek kiri menggantikan Daniel Ting agak kekok dan perlu masa untuk menyesuaikan diri di posisi berkenaan.

"Kevin dan Declan sedang dalam proses menyesuaikan diri dan saya optimis mereka akan berada di tahap permainan terbaik apabila beraksi dalam beberapa perlawanan akan datang malah saya tidak risau kerana mereka faham apa yang mahukan," kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 12:26 PM