PENYERANG KL City FC, Kipre Tchetche idam tebus duka musim lalu. -FOTO KL City FC
PENYERANG KL City FC, Kipre Tchetche idam tebus duka musim lalu. -FOTO KL City FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Kipre Tchetche idam mahu menebus duka musim lalu apabila sekali lagi bakal bertembung dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala FA, Sabtu ini.

Jelas pemain kelahiran Ivory Coast itu, luka ditumpaskan 3-1 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menyarung jersi Terengganu FC (TFC) masih lagi berbekas dan akan diingati sepanjang kariernya lebih-lebih lagi dia menjaringkan gol tunggal skuadnya.

Bagaimanapun penyerang berpengalaman berusia 36 tahun itu sedar cabaran berliku bakal dilalui pasukannya untuk mengintai kejuaraan lebih-lebih lagi beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Namun jelas pemain yang sudah tujuh musim beraksi dalam saingan Liga M (Liga M) bermula 2017 dengan menyarung jersi Terengganu, dalam bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku sebagaimana dibuktikan skuadnya ketika muncul juara Piala Malaysia 2021 selepas menumbangkan gergasi Liga M itu dengan kemenangan 2-0.

"Luka musim lalu tewas kepada JDT pada aksi final Piala FA ketika mewakili TFC masih lagi berbekas, kini saya mewakili pasukan berbeza dan sudah tentu saya mahukan sesuatu dalam karier lebih-lebih lagi gagal melakukannya sebelum ini.

"Saya sedar atas kertas sudah pasti lawan (JDT) sukar untuk ditumpaskan apatah lagi rekod dalam saingan Liga M musim ini begitu cemerlang tanpa tewas dan seri dalam 17 perlawanan, ini menunjukkan skuad itu begitu lengkap di setiap posisi," ujar Tchetche ketika dihubungi.

Sepanjang 14 penampilan bersama skuad The City Boys musim ini, pemain yang pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim 2020-2021 sudah meledak enam gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 1:10 PM