ONANA mainkan peranan penting pacu Milan layak ke Liga Juara-Juara musim depan. -FOTO AFP
ONANA mainkan peranan penting pacu Milan layak ke Liga Juara-Juara musim depan. -FOTO AFP
Agensi

Milan: Inter Milan kini sedang "menunggu" Manchester United untuk membuat tawaran perpindahan bagi penjaga gol, Andre Onana.

Isu penjaga gol di Old Trafford kembali hangat diperkatakan apabila kontrak David de Gea secara rasmi tamat tanpa persetujuan bagi perjanjian baharu.

Pemain Sepanyol itu yang menandatangani kontrak dengan Sir Alex Ferguson pada 2011, diminta untuk mengurangkan gajinya sebelum ini sebanyak £375,000 seminggu (RM2.2 juta) walaupun perbincangan mengenai kontrak masih diteruskan.

Tetapi masa depannya masih bergantung pada usaha United mengejar Onana yang pernah bekerja dengan Erik ten Hag selama enam tahun di Ajax.

Dia berpindah dari kelab Belanda ke Inter 12 bulan lalu dan memainkan peranan penting membawa pasukan itu mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu.

United dilaporkan bertemu dengan wakil pemain antarabangsa Cameroon itu dan kini Ketua Pegawai Eksekutif Inter, Giuseppe Marotta mengesahkan minat pasukan Liga Perdana itu.

Gergasi Itali itu kini sedang menunggu tawaran kerana Ten Hag masih mencari pemain pertamanya yang diikat musim panas ini.

"Manchester United mengesahkan kepada kami bahawa mereka berminat dengan Andre Onana" kata Marotta.

"Kami sedang menunggu tawaran rasmi kemudian kami akan memutuskan bagaimana untuk bertindak selepas itu."

United sebelum ini dikaitkan dengan David Raya dari Brentford, tetapi penilaian £40 juta (RM236.04 juta) kelab London itu nampaknya menjejaskan minat mereka.

Kedudukan pemain nombor satu musim depan jelas diperdebatkan minggu ini dengan Ten Hag menghalang perpindahan penjaga gol kedua, Tom Heaton ke Luton.

Malah, bos Belanda itu juga sedar bahawa potensi untuk menandatangani Onana, 27, akan datang dengan kaveat (sekatan atau halangan pendaftaran).

Dia sudah pasti akan terbabit dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika pada Januari bermakna dia mungkin terlepas beberapa perlawanan penting.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 10:40 AM