SKUAD Kelantan FC ketika bertemu Penang FC pada aksi Liga Super malam tadi. FOTO Penang FC
SKUAD Kelantan FC ketika bertemu Penang FC pada aksi Liga Super malam tadi. FOTO Penang FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Calon pemilik baharu Kelantan FC dari pengusaha perniagaan Erfan Gym & Fitness menafikan pihaknya mahu membeli kelab itu dengan nilai RM10 juta.

Menerusi perkongsian di laman sosial pusat kecergasan itu mengakui pihaknya masih di peringkat perbincangan bersama pemilik skuad The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman.

Erfan Gym yang diusahakan oleh Erfan Lee Ruslan atau lebih dikenali dengan panggilan Erfan Akif berkata, sebarang tanda harga TRW masih belum diputuskan dan nilai RM10 juta itu tidak benar.

"Yang mengatakan Erfan Gym ingin membeli kelab bolasepak TRW kelantan FC dengan nilai 10 juta?? Dari mana dapat nilai 10 juta??.

"Sedangkan kami Erfan Gym masih lagi dalam perbincangan dengan pemilik TRWFC, En Norizam Tukiman tentang hal ini.

"Apa-apa keputusan nanti, boleh rujuk kepada 'Page' rasmi TRW Kelantan FC. Dan jika ada apa-apa 'statement' dari kami, kami akan update di sini dan hanya tepat di page kami Erfan Gym," katanya.

Semalam, Norizam akui 'terpikat' dengan tawaran RM10 juta daripada Erfan Lee seperti mana yang dilaporkan beberapa media atas talian.

Jelas Norizam, beliau sedia menjual kelab terbabit kepada Erfan Lee dengan tawaran RM10 juta, sekali gus menutup peluang seorang lagi pesaing iaitu usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida yang turut berminat menguruskan TRW.

Begitupun, Norizam mahu Erfan Lee mengemukakan 'proof of fund' atau mengemukakan pembuktian dana untuk menguruskan Kelantan FC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 3:39 PM