NORIZAM Tukiman. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NORIZAM Tukiman. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tawaran RM10 juta yang dikemukakan usahawan perlombongan emas, Erfan Lee Ruslan tampak berjaya memikat perhatian pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang mengakui sedia menjual kelab itu kepada usahawan muda itu.

Ia dinyatakan Norizam di laman Facebook miliknya selepas tertarik dengan tawaran Erfan Lee atau lebih dikenali dengan panggilan Erfan Akif.

Begitupun, Norizam mahu pemilik Erfan Gym And Fitness itu mengemukakan 'proof of fund' atau pembuktian dana untuk menguruskan The Red Warriors (TRW).

"Ada orang tawarkan nak beli RM10 juta. Insha-Allah saya akan jual pada saudara Erfan, beliau hanya berikan 'proof of fund' untuk buktikan beliau benar-benar serius.

"Berikan 'proof of fund', dan saya akan teruskan 'deal'. Kalau tak 'off'," katanya di laman sosialnya.

Dengan perkembangan terkini itu, peluang seorang lagi pesaing iaitu usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida boleh dikatakan hampir tertutup.

Bagaimanapun, Norizam menjelaskan beliau akan tetap menemui kedua-dua calon pembeli itu dalam masa terdekat.

"InsyaAllah, hari ini saya ke Pulau Pinang untuk lihat perlawanan musim ke dua dan berjumpa saudara Erfan dan Dato Vida dalam masa terdekat," katanya.

Sebelum ini pada Isnin lalu, Arena Metro muncul media pertama yang mendedahkan Kelantan FC kemungkinan bakal dijual selepas sumber memaklumkan calon yang mahu membeli pasukan itu akan menemui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan status terkini pasukan itu.

Ia susulan TRW didakwa sedang berdepan pelbagai kes di FAM, termasuk di Fifa berhubung isu tunggakan gaji pemain yang menyelubungi Kelantan FC di bawah pengurusan Norizam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 3:20 PM