PEMAIN import terbaru KDA, Moses Atede. FOTO KDA FC
PEMAIN import terbaru KDA, Moses Atede. FOTO KDA FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pasaran perpindahan pemain pada jendela kedua Liga Malaysia (Liga M) yang bermula dari 5 Julai hingga 1 Ogos ini dijangka 'sendu' dengan kebanyakan pasukan mahu menjimatkan kos.

Jangkaan itu dikongsikan oleh Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah yang menjangkakan kemungkinan hanya tiga hingga empat pasukan sahaja

akan sibuk 'membeli belah' dalam jendela kedua musim ini.

Jelasnya, beliau beranggapan kelab yang mempunyai dana mencukupi seperti Selangor FC, Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC dan Sri Pahang FC antara pasukan yang akan berbelanja bagi memperkukuhkan pasukan, dengan 10 lagi pasukan kemungkinan tidak melakukan perubahan besar.

"JDT (Johor Darul Ta'zim) saya rasa tidak kerana mereka mempunyai skuad yang besar, dan ramai lagi pemain berkualiti mampu mengisi ketiadaan tonggak utama jika cedera.

"Selangor pula, sebenarnya tidak menukar pemain tetapi mereka menambah satu kekosongan kuota import dalam pasukan mereka.

"Tetapi kita dapat lihat Kedah antara pasukan yang membuat pertukaran babitkan dua pemain import. Pasukan lain pun ada bertanya kepada saya tentang pemain import tetapi masih belum buat keputusan.

"Tapi bagi saya, jendela perpindahan kali ini kurang rancak berbanding musim lalu. Mungkin sebab banyak pasukan yang tidak mempunyai dana mencukupi.

"Pasukan yang membuat pertukaran dan menambah pemain ini pun adalah pasukan di tangga teratas liga," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, Kedah mengumumkan kehadiran dua pemain import baharu iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede sekaligus memenuhi sembilan kouta pemain import pasukan itu.

Malah difahamkan, skuad Hijau Kuning itu juga sedang berusaha membawa masuk dua lagi pemain tempatan dengan salah seorang daripadanya adalah penyerang bertaraf bintang.

Skuad Red Giants juga tidak ketinggalan apabila mengumumkan ketibaan bekas penyerang Juventus, Richmond Boakye yang diikat bagi melengkapkan sembilan slot import untuk Selangor FC.

Reputasi Boakye bukan biasa-biasa di mana dia sebelum ini pernah mencipta sensasi menjaringkan gol ketika menentang Real Madrid dalam saingan LaLiga bersama Elche FC pada 2013 lalu.

Effendi menambah lagi, walaupun beberapa pasukan menambah kekuatan dengan kemasukan pemain baharu, namun beliau merasakan untuk menandingi JDT masih lagi jauh.

"Kalau kata kemasukan pemain ini untuk bagi cabaran kepada JDT, bagi saya perkata itu tidak akan berlaku.

"JDT jauh lebih baik, malah kutipan mata dalam Liga Super juga menunjukkan JDT agak sukar untuk digugat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 7:18 PM