Pemain JDT II, Stuart John Wilkin cuba melepasi dua pertahanan NSFC pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Pemain JDT II, Stuart John Wilkin cuba melepasi dua pertahanan NSFC pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal mengekalkan kedudukan teratas liga selepas sekadar seri 0-0 dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad kendalian K Devan jatuh ke tangga kedua dan mengumpul 22 mata manakala Sarawak United berjaya memintas pasukan itu selepas menang 3-2 menewaskan Kelantan United untuk mengumpul 23 mata.

Pada minit kelapan perlawanan, anak didik Devan mengatur serangan ke kubu JDT II namun bola sepakan lintang Bae Beom-geun tepat kepada Fahmi Zainal yang bertindak menanduk bola namun sekadar melepasi palang.

Tuan rumah terlepas peluang membuka tirai jaringan pada minit ke-21 dan ia berpunca daripada sepakan lintang Umar Hakeem Suhar Rezwan menyaksikan penjaga gol, Damien Chien gagal menangkap bola.

Ahmad Asyar Hadi Shami yang berada di posisi terbaik selepas bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol NS FC itu jatuh di depan kakinya gagal mengambil kesempatan untuk merembat bola ke gawang lawan yang terbuka luas.

Bersambung babak kedua, tuan rumah berpeluang untuk mencipta jaringan pada minit ke-48 selepas meraih sepakan penalti apabila Stuart John Wilkin dikasari pertahanan NSFC di dalam kotak penalti namun peluang terhidang disia-siakan kapten Irfan Fazail selepas bola sepakannya terkena tiang gol sebelah kanan.

Aksi seimbang yang dipamerkan kedua-dua pasukan yang cuba mencari gol namun gagal menemui sentuhan penyudah menyaksikan perlawanan itu berkesudahan seri tanpa jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 12:06 AM