RAMOS akan meninggalkan PSG. FOTO AFP
RAMOS akan meninggalkan PSG. FOTO AFP
AFP

Paris: Juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan bekas pemain pertahanan veteran Sepanyol, Sergio Ramos akan menyertai Lionel Messi meninggalkan kelab itu hujung musim ini.

Ramos, 37, tiba di ibu negara Perancis itu pada 2021 selepas meraih pelbagai kejayaan bersama Real Madrid termasuk menjulang trofi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Sergio Ramos selama dua tahun bersama kami.

"Kepimpinan Sergio, semangat berpasukan dan profesionalisme, digabungkan dengan pengalamannya di peringkat tertinggi, menjadikannya legenda bola sepak sejati, dan ia adalah satu penghormatan dapat menggunakan khidmatnya di Paris.

"Semua pihak di kelab ini mengucapkan selamat maju jaya kepadanya," kata Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi dalam satu kenyataan.

Ramos mengikut jejak langkah pemenang Piala Dunia 2022 dari Argentina, Messi meninggalkan Parc des Princes dengan laporan turut mengaitkan Neymar bakal mengambil tindakan sama.

"Saya tidak tahu berapa banyak tempat seseorang itu dapat berasakan seperti berada di rumah sendiri tetapi tanpa ragu-ragu PSG, penyokong dan Paris cukup istimewa kepada saya.

"Terima kasih untuk dua tahun yang istimewa di mana saya dapat bermain dalam setiap kejohanan dan memberikan segala-segalanya," kata Ramos di media sosial.

Bekas pertahanan Sevilla itu memenangi Ligue 1 sebanyak dua kali dengan beraksi sebanyak 57 perlawanan dan kontraknya akan berakhir pada 30 Jun.

44 daripada penampilan itu adalah pada musim pertama ketika di bawah bimbingan Mauricio Pochettino sebelum dibelenggu kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 7:23 AM