SERGIO Ramos menyertai PSG dengan kontrak dua tahun. FOTO Uefa
SERGIO Ramos menyertai PSG dengan kontrak dua tahun. FOTO Uefa
AFP

Paris: Sergio Ramos, bekas pemain pertahanan Real Madrid yang dianggap antara pemain terbaik dunia, menandatangani kontrak dua tahun dengan Paris Saint-Germain, umum kelab Perancis itu, hari ini.

Ramos, 35, memenangi Liga Juara Eropah sebanyak empat kali bersama Real selain satu Piala Dunia dan dua Piala Eropah bersama Sepanyol.

Pemain veteran itu mencipta rekod Eropah dengan 180 cap serta menjaringkan 23 gol untuk negaranya dan tiba di PSG yang terdesak menambah pemain berpengalaman dalam skuadnya untuk memburu gelaran Liga Juara Eropah pertama.

Pengarah Sukan PSG turut membeli bintang Belanda, Georginio Wijnaldum dari Liverpool dan pemain pertahanan Maghribi, Achraf Hakimi dari juara Itali, Inter Milan.

Kelab itu turut dikaitkan dengan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, yang beraksi cemerlang bersama Itali yang akan bertemu England di final Euro 2020, Ahad ini.

Pemilik kelab itu dari Qatar berharap pelaburan hebat itu akan meyakinkan penyerang Perancis, Kylian Mbappe menandatangani kontrak baharu melebihi 2022.

"Ia adalah peluang besar dalam hidup saya, cabaran baharu dan hari yang tidak akan dilupakan," kata Ramos menerusi kenyataan dikeluarkan PSG.

"Saya bangga menjadi sebahagian daripada projek bercita-cita tinggi ini dan menyertai pasukan bersama ramai pemain hebat.

"Ia adalah kelab yang terbukti di peringkat tertinggi dengan sumber kewangan kukuh. Saya mahu membangu bersama Paris dan membantu pasukan ini menang gelaran."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 9:00 PM