PENJAGA gol TFC, Sharmiza bakal membuat penampilan kedua di Piala AFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
PENJAGA gol TFC, Sharmiza bakal membuat penampilan kedua di Piala AFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan Terengganu FC (TFC) mara ke pentas Piala AFC musim depan begitu bermakna buat penjaga gol skuad itu, Mohd Shamirza Yusoff.

Ini kerana penjaga gol kelahiran Rusila, Marang itu bakal membuat penampilan kedua pada pentas Asia itu selepas kali pertama pada 2012 juga bersama skuad Penyu itu.

Penjaga gol berusia 31 tahun itu yang lebih mesra dipanggil 'Kepong' akui kejayaan itu adalah hadiah kepada peminat setia skuad Penyu yang tidak jemu menyokong pasukan walaupun negara berdepan dengan wabak pandemik Covid-19.

"InsyaAllah jika ada rezeki, tahun depan adalah penampilan kedua saya bersama Terengganu dalam saingan Piala AFC selepas kali pertama pada 2012 ketika berusia 23 tahun.

"Sejujurnya saya begitu teruja jika diberi peluang beraksi di pentas Asia itu untuk membantu pasukan selepas hanya tiga kali diturunkan dalam saingan itu kerana bergilir dengan Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang kini bersama pasukan Pahang," katanya kepada Sukan NSTP.

Pada saingan Piala AFC itu, Terengganu yang dibimbing Mat Zan Mat Aris diundi dalam Kumpulan F bersama kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC, wakil Hong Kong, Kitchee FC dan Tampines Rovers dari Singapura.

Rezeki buat Terengganu apabila berjaya menduduki tempat kedua kumpulan di belakang Kitchee sekali gus layak beraksi dalam kelompok 16 pasukan terakhir sebelum tewas kepada Kelantan 2-3.

Ketika ditanya impiannya di pentas Asia itu, bekas penjaga gol Terengganu FC II (TFC II) musim lalu itu bertekad mahu membantu pasukannya melangkah lebih jauh berbanding lapan tahun lalu.

"Saya akui persaingan kini lebih sengit apatah lagi pasukan yang bakal menyertai Piala AFC itu sudah pasti lebih mantap, tapi dalam bola sepak apa-apapun boleh berlaku, jadi sudah pasti impian saya beraksi cemerlang dalam misi membawa cabaran TFC melangkah lebih jauh lagi," katanya yang ketika itu bersama seorang lagi pemain Terengganu, Shukur Jusoh yang kini masih setia bersama TFC.

Berkenaan dengan pembatalan saingan Piala Malaysia musim ini, Shamirza yang kerap diturunkan dalam kesebelasan utama bersama seorang lagi penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim, akui sedih dan kecewa kerana hasrat pasukan mahu merangkul kejuaraan piala berprestij itu musnah.

"Secara jujurnya saya kecewa pembatalan piala itu kerana setiap pasukan mempunyai laluan mudah untuk ke final dan seterusnya merangkul kejuaraan kerana hanya perlu beraksi tiga perlawanan sahaja.

"Namun di sebaliknya ada hikmah apabila TFC dipilih mengisi slot ke Piala AFC selepas mengakhiri Liga Super di kedudukan ketiga di belakang Kedah dan juara, Johor Darul Ta'zim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 7:00 PM