Muhammad Zuasyraf (tengah) menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Muhammad Zuasyraf (tengah) menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain tengah baharu Terengganu FC (TFC), Muhammad Zuasyraf Zulkiefle tekad mahu membalas kepercayaan barisan kejurulatihan skuad itu dalam pentas Liga Super musim ini.

Bekas pemain skuad 'adik', Terengganu FC II (TFC II) itu bagaimanapun akui bukan mudah buatnya untuk berada dalam kesebelasan utama skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

Namun pemain meningkat naik kelahiran kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu itu sedia memberikan aksi terbaik terutama ketika sesi latihan bagi memastikan kehadirannya dalam skuad utama skuad Penyu itu bukan sekadar pelengkap.

"Saya begitu terharu apabila diberi kepercayaan dan 'dinaikkan pangkat' beraksi bersama pasukan utama musim ini kerana ini adalah impian saya selepas beberapa musim bermain dengan skuad TFC II.

"Namun saya sedar beraksi dalam skuad utama tidak begitu mudah dengan corak permainan berintensiti tinggi di tambah pula saingan untuk merebut posisi di bahagian tengah itu sudah pastinya sengit.

"Bagaimanapun saya tekad untuk merebut posisi berkenaan bagi menambah minit permainan kerana tidak mahu dilabel sebagai pelengkap senarai pemain skuad itu.

"Jika diberi peluang beraksi, saya juga berazam untuk 'mengetuk' pintu skuad kebangsaan kerana itu impian saya sejak kecil lagi, lagipun barisan kejurulatihan skuad TFC adalah bekas pemain Terengganu yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia, jadi ini menambah keyakinan untuk saya berguru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 9:01 PM