DE Bruyne meraikan kejayaannya bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika bertemu Real. FOTO AFP
DE Bruyne meraikan kejayaannya bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika bertemu Real. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester City akan memperoleh ganjaran hampir £300 juta (RM1.68 bilion) jika mereka berjaya meraih gelaran treble musim ini.

Anak buah Pep Guardiola hanya tinggal tujuh perlawanan lagi untuk diharungi bagi melengkapkan impian menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Jika meraih kejuaraan Liga Perdana kali kelima dalam tempoh enam tahun, mereka mungkin memperoleh ganjaran sekitar £164 juta (RM922.6 juta), sama dengan angka yang mereka perolehi musim lalu.

SunSport pada bulan lalu mendedahkan jika City menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama, mereka akan memperoleh ganjaran £117.2 juta (RM659.3 juta).

Skuad bimbingan Guardiola adalah pilihan untuk mara ke final bulan depan berikutan keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Real Madrid, semalam.

Jika City berjaya menewaskan jiran setempat, Manchester United dalam perlawanan akhir Piala FA di Wembley pada 3 Jun depan, ia akan menyaksikan mereka memperoleh ganjaran £3.9 juta (RM21.9 juta) sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhan ganjaran diperolehi adalah sekitar £285.1 juta (RM1.6 bilion).

City masih berbaki empat perlawanan liga, bermula dengan kunjungan ke Everton, Ahad ini dan memerlukan sembilan mata lagi untuk mengesahkan kejuaraan liga.

Kemudian skuad bimbingan Guardiola akan mengalihkan perhatian mereka kepada aksi timbal balik Liga Juara-Juara bertemu Real, 18 Mei ini.

Gol penyamaan menakjubkan menerusi Kevin De Bruyne pada separuh masa kedua di Bernabeu di separuh akhir pertama memberikan City peluang keemasan untuk mara ke final di Istanbul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 9:53 AM