GREALISH (kanan) melancar serangan ke kubu Real Madrid. FOTO AFP
GREALISH (kanan) melancar serangan ke kubu Real Madrid. FOTO AFP
AFP

Madrid: Jack Grealish berkata Manchester City yakin dapat menamatkan tugas menentang Real Madrid di tempat sendiri seterusnya mara ke final Liga Juara-Juara selepas berjaya mengikat juara bertahan itu 1-1 pada aksi separuh akhir pertama.

City memenangi kesemua 14 perlawanan di Etihad tahun ini dengan jumlah jaringan 49-7 ketika anak buah Pep Guardiola berpotensi menjulang tiga gelaran Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Namun sasaran untuk menakluki Eropah buat kali pertama menjadi fokus utama bagi juara Inggeris itu.

City berdepan kekecewaan ketika menentang Madrid pada peringkat yang sama musim lalu apabila tewas pada perlawanan kedua di Santiago Bernabeu seterusnya menyaksikan gergasi Sepanyol memenangi pertandingan itu buat kali ke-14.

Namun dengan keputusan seri itu memberi kelebihan buat City untuk perlawanan timbal balik apabila mereka akan bermain di tempat sendiri nanti selepas terikat di Madrid.

Kedua-dua gol terhasil daripada jaringan hebat dari luar kotak yang menyaksikan Kevin De Bruyne membatalkan jaringan pembukaan Vinicius Junior.

"Di Etihad pada masa ini kami berasa tidak boleh dihalang," kata Grealish.

"Kami datang ke sini untuk mencuba dan menang, tetapi saya fikir ia menunjukkan watak sebenar kami yang bangkit daripada ketinggalan satu gol dan kembali. Akhirnya ia adalah keputusan yang adil."

City kini tidak tewas dalam 21 perlawanan dalam semua pertandingan.

Tetapi mereka tidak berada pada tahap terbaik apabila Madrid berjaya menyekat penyerang Erling Haaland yang kini sudah meledak 51 gol.

"Apabila kami lebih baik, mereka menjaringkan gol. Apabila mereka lebih baik, kami menjaringkan gol," kata Guardiola.

"Perlawanan yang sukar di Bernabeu, separuh akhir sentiasa sukar. 1-1 dan kami mempunyai satu lagi perlawanan Rabu ini di laman sendiri bersama pasukan kami," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 7:14 AM