MANCHESTER City hanya perlu menang perlawanan terakhir untuk pastikan gelaran juara liga. -FOTO EPA
MANCHESTER City hanya perlu menang perlawanan terakhir untuk pastikan gelaran juara liga. -FOTO EPA
AFP

London: Pep Guardiola menggesa Manchester City untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada hari terakhir musim ini selepas mencatatkan keputusan dramatik seri 2-2 di West Ham dan terus memastikan peluang merangkul trofi kini dalam tangan.

Pasukan Guardiola berada dalam bahaya dan boleh membuka ruang buat Liverpool yang kini di tempat kedua apabila Jarrod Bowen meledakkan dua gol pada separuh masa pertama buat West Ham.

Namun kebangkitan City membuktikan mereka satu pasukan yang mempunyai karektor berbeza dan begitu banyak kejayaan dirangkul dalam era Guardiola.

Jack Grealish menjaringkan gol selepas rehat dan gol sendiri dari Vladimir Coufal membolehkan City meraih satu mata berharga.

Ia sepatutnya berkesudahan dengan kemenangan buat City namun penalti Riyad Mahrez berjaya diselamatkan oleh Lukasz Fabianski ketika perlawanan berbaki lima minit.

Walaupun itu adalah tamparan pahit, namun Guardiola lega kerana mereka masih mendahului dengan empat mata mengatasi Liverpool dengan perbezaan jaringan iaitu dengan tujuh gol.

Mereka akan mengekalkan gelaran itu jika pasukan Jurgen Klopp tewas kepada Southampton esok.

Jika Liverpool menewaskan Southampton untuk merapatkan jurang kepada satu mata, anak buah Guardiola masih boleh merangkul trofi dengan kemenangan menentang Aston Villa di Stadium Etihad pada 22 Mei.

Penentuan kejuaraan hanya akan ditentukan pada perlawanan terakhir musim ini dengan Liverpool akan melayan Wolves pada masa yang sama City bertemu Villa.

Guardiola menyeru pemainnya supaya tidak gentar dengan tekanan dan pertarungan yang akan berlangsung nanti.

"Sekarang tiada perdebatan mengenai perbezaan gol. Menang saja permainan kami dan kami akan menjadi juara," katanya.

"Stadium kami akan habis dijual dan kami akan memberikan seumur hidup kami untuk melakukannya. Ia satu peluang yang luar biasa untuk memenangi satu perlawanan dan menjadi juara.

"Kami mempunyai hasrat dan keinginan untuk memenangi perlawanan dan kejuaraan. Kami membuktikannya ketika menentang Wolves."

City mempunyai sejarah tersendiri dengan memenangi kejuaraan pada hari terakhir dan memenangi mahkota kejuaraan pertama mereka selepas 44 tahun hasil jaringan Sergio Aguero ketika menentang QPR pada 2012 sementara turut menewaskan Liverpool pada perlawanan terakhir mereka pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 8:16 AM