CEO JDT, Alistair Edwards. FOTO NSTP
CEO JDT, Alistair Edwards. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kesukaran mendapatkan pertandingan lebih kompetitif babitkan pemain berusia dari 12 hingga 18 tahun menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil inisiatif menganjurkan kejohanan itu selepas ini.

Perkara terbabit disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards yang mengakui kelab itu akan menganjurkan pertandingan antarabangsa peringkat bawahan dengan turut menjemput akademi dari luar negara.

Jelasnya, langkah itu diambil selepas melihat sistem bola sepak bawahan yang tidak memiliki pertandingan khusus untuk pemain di peringkat remaja itu.

"Kelab bola sepak JDT akan memulakan kejohanan remaja antarabangsa untuk menyediakan pertandingan yang lebih mantap untuk pelatih-pelatih Akademi JDT.

"Struktur semasa di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hanya menyediakan pertandingan untuk pasukan Bawah-18, Bawah-23 hingga ke pasukan senior sahaja.

"Ianya sangat diperlukan untuk mempunyai pertandingan kompetitif bagi semua pasukan akademi kami kerana kami mempunyai pasukan Bawah-12 hingga Bawah-18 yang kekurangan perlawanan berkualiti disebabkan ketiadaan pertandingan yang sesuai.

"Pertandingan ini akan dibuka kepada akademi antarabangsa dan dalam negara. Maklumat lanjut tentang pertandingan ini akan diumumkan pada masa terdekat selepas sanksi untuk menjalankan pertandingan ini diberikan oleh pihak yang berwajib," katanya di laman Facebook JDT.

Untuk rekod, sebelum ini Frenz United FC antara kelab pertama yang menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa secara sendiri bagi mendedahkan pemain mereka dengan pengalaman pertandingan kompetitif.

Antara pasukan luar yang pernah menyertai kejohanan anjuran Frenz United FC dari 2012 hingga 2015 ialah Liverpool, Tottenham Hotspur, Feyenoord, Kashima Antlers, Gamba Osaka, Estudiantes, Internacional, Porto dan banyak lagi kelab ternama.

Begitupun, pertandingan itu dihentikan pada 2016 selepas kelab itu dibubarkan selepas gagal meraih keuntungan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 1:34 PM