FOTO Ihsan Facebook Johor Southern Tigers
FOTO Ihsan Facebook Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Nama Johor Darul Ta'zim (JDT) terus dikenali di mata dunia apabila pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim diundang sebagai penceramah bersama legenda bola sepak dunia Ryan Giggs, Gary Neville dan Nicky Butt, Khamis ini.

Menerusi perkongsian di laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers itu, Tunku Ismail dijemput menghadiri perbincangan meja bulat untuk berkongsi pengalaman mengenai latihan dan teknologi berkaitan bola sepak di Asia.

Perbincangan meja bulat bertajuk 'World Class Training with Man United Legends' itu akan diadakan secara maya pada jam 5.30 petang, 2 Disember ini.

"Sesi ini juga bertujuan untuk menunjukkan kepada pemain, jurulatih, pelatih dan ibu bapa tentang apa yang diperlukan untuk berada pada peringkat elit.

"Program dua hari anjuran ZujuGP, sebuah laman penstriman dalam talian untuk menghubungkan individu-individu dalam bola sepak kepada peminat seluruh dunia ini.

"Ia juga bakal menyaksikan legenda bola sepak berbincang mengenai perkara berkaitan Manchester United pada Rabu (1 Disember)," menurut kelab itu.

Tunku Ismail dijangka berkongsi mengenai perkembangan JDT termasuk fasiliti kelas dunia kelab berkenaan dan Akademi JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:19 PM