BRUNDO (kiri) yakin Sri Pahang mampu gegar Stadium MBPJ.
BRUNDO (kiri) yakin Sri Pahang mampu gegar Stadium MBPJ.
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC bakal berdepan cabaran getir apabila bertemu Selangor FC pada pusingan 16 Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Pada masa sama, prestasi Red Giants menunjukkan peningkatan ketika skuad Tok Gajah masih tercari-cari rentak.

Namun, pemain tengah Stefano Brundo percaya kemenangan akan berpihak kepada Sri Pahang berdasarkan komitmen rakan sepasukan.

"Sudah pasti kami mahu menang dan tidak mahu perlawanan berlanjutan kepada masa tambahan untuk layak ke pusingan seterusnya.

"Tapi cabaran besar menanti kerana pada perlawanan Liga Super lalu, kami terikat 1-1 dan sudah pasti saingan sengit bakal dihadapi. Oleh itu kami akan memastikan Sri Pahang memenangi perlawanan," katanya pemain berasal dari Argentina itu.

Ketika ini, Brundo antara penjaring utama skuad Tok Gajah apabila menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Super.

Persembahan pemain berusia 30 tahun itu sudah pasti ditagih skuad kendalian Fandi Ahmad untuk melangkah lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu musim ini.

Pada masa sama, sentuhan berbisa daripada dua penyerang iaitu Kpah Sherman dan Lucas Silva akan memainkan penting buat skuad Tok Gajah.

Sementara itu, Fandi berkata, prestasi tidak konsisten skuadnya itu diharap tidak terjemahkan apabila berdepan Red Giants.

Katanya, ini kerana Selangor dilihat semakin menemui rentak dan mempamerkan peningkatan setiap perlawanan.

"Jika dilihat kepada rekod perlawanan Liga Super, mereka sedang meningkat naik dan Sri Pahang perlu melakukan sesuatu jika mahu terus bersaing. Saya harap pemain dapat memberi tekanan dan memastikan kemenangan buat pasukan," kata Fandi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 3:22 PM