PEMAIN Sri Pahang FC, Baqiuddin Shamsudin ketika diasak pemain Geylang International FC di Stadium Jalan Besar, Singapura. -FOTO Sri Pahang FC
PEMAIN Sri Pahang FC, Baqiuddin Shamsudin ketika diasak pemain Geylang International FC di Stadium Jalan Besar, Singapura. -FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC menamatkan aksi persahabatan berdepan dua kelab Singapura dengan kemenangan pada siri pramusim di Singapura.

Berdasarkan keputusan perlawanan kedua berdepan Geylang International FC di Stadium Jalan Besar malam tadi, skuad kendalian Fandi Ahmad menewaskan lawannya itu 1-0 hasil jaringan Adam Aliff.

Selasa lalu, skuad Tok Gajah menewaskan Albirex Niigata 1-0 menerusi jaringan Aleksandar Cvetkovic tetapi perlawanan itu hanya berlangsung 35 minit apabila terpaksa dihentikan berikutan cuaca buruk.

Namun, keputusan positif yang diraih Sri Pahang itu sudah pasti memberikan suntikan semangat menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super musim 2024/2025 bulan depan.

Pada masa sama, skuad Tok Gajah sedang menilai komitmen dan tahap persefahaman antara pemain lama dan baharu untuk membentuk skuad lebih mantap pada musim baharu ini.

Kemenangan itu juga sudah pasti melegakan Fandi yang sudah pasti dapat menilai prestasi anak buahnya terutama membentuk kesebelasan terbaik.

Lebih-lebih, musim ini Sri Pahang mempertaruhkan enam import, termasuk tiga pemain baharu.

Mereka ialah Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina) dan Kuvondik Ruziev (Uzbekistan) yang dikekalkan manakala tiga import baharu ialah Mykola Ahapov dari Ukraine, Manuel Hidalgo (Argentina) dan Aleksandar Cvetkovic (Serbia).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:54 PM