MINGS (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol England.
MINGS (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol England.
AFP

Serravalle, San Marino: Gareth Southgate berkata mentaliti England menjadi kunci kemaraan Three Lions ke Piala Dunia selepas membelasah San Marino 10-0 dengan Harry Kane menjaringkan empat gol awal pagi tadi.

Walaupun hanya perlukan seri dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan I untuk layak ke Piala Dunia di Qatar tahun depan, England tidak melepaskan peluang dengan meledak 10 gol buat kali pertama dalam satu perlawanan sejak menewaskan Amerika Syarikat dalam aksi persahabatan pada 1964. Ia kemenangan terbesar Three Lions dalam perlawanan kompetitif.

Harry Maguire meletakkan skuad Southgate di depan sebelum jaringan sendiri Filippo Fabbri menggandakan kelebihan pendahuluan England.

Kapten England, Kane turut mencipta rekod dengan meledak empat gol sebelum rehat manakala pemain tengah Arsenal, Emile Smith Rowe menjaringkan gol pertama dalam penampilan sulung bersama skuad senior.

AKSI  Kane meledak gol keenam England.
AKSI Kane meledak gol keenam England.

Tyrone Mings menanduk masuk gol pertamanya bersama England selepas pemain San Marino, Dante Rossi dibuang padang sebelum Tammy Abraham dan Bukayo Saka menambah derita tuan rumah.

Kane kini meledak 16 gol pada 2021 untuk England sekali gus mencipta rekod kalendar tahunan untuk Three Lions dengan mengatasi koleksi 12 gol milik George Hilsdon pada 1908 Dixie Dean pada 1927.

Pemain berusia 28 tahun itu menyamai rekod Gary Lineker dengan 48 gol untuk England dengan hanya Bobby Charlton (49) dan Wayne Rooney (53) mengatasinya.

"Harry penjaring sensasi. Jika kami terus kekalkannya untuk setengah jam terakhir, dia mungkin terus menambah jaringan," kata Southgate.

England yang menjuarai peringkat kumpulan menamatkan kempen kelayakan dengan tanpa kalah dalam 10 perlawanan.

Mereka menang lebih perlawanan (15), meledak lebih gol (52) dan paling banyak tanpa bolos (14) pada 2021 sekali gus yang terbaik dalam sejarah kalendar tahunan pasukan itu.

"Saya perlu memberi kredit kepada semua pemain dan staf di atas usaha cemerlang tahun ini," kata Southgate. "Mentaliti pemain malam ini mengagumkan, mereka tetap beraksi cemerlang walaupun tahu kemampuan pasukan lawan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 7:45 AM