AKSI antara Selangor dan JDT malam tadi di Stadium MBPJ. FOTO AIZUDDIN SAAD
AKSI antara Selangor dan JDT malam tadi di Stadium MBPJ. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Sokongan lebih 14,000 penyokong sendiri jelas tidak memberi sebarang erti kepada Selangor FC apabila 'lunyai' dibelasah musuh tradisi Johor Darul Ta'zim( JDT) menerusi jaringan 0-4 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, sebentar tadi.

Kekalahan terbabit jelas sekali menoktahkan rekod tanpa kalah skuad Gergasi Merah dengan kali terakhir tewas kepada pasukan sama pada pertemuan final Piala Malaysia musim lalu.

Kemenangan itu juga menyaksikan setakat ini tiada lagi pasukan masih mampu meraih kemenangan atau sekurang-kurang mencipta keputusan seri apabila bertemu juara sembilan kali Liga Super berturut-turut itu.

Babak pertama menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe cukup kental menyerap setiap gerakan merbahaya JDT yang diketuai Fernando Forestieri.

Pasukan kendalian Estaban Solari terlebih dahulu menguji pintu gawang lawan pada minit 16 namun sepakan Forestieri sedikit tersasar sekali gus memberi kelegaan kepada tuan rumah.

Serangan skuad Harimau Selatan tidak hanya terhenti di situ saja apabila tandukan ayam tambatan mereka Diogo hampir menerjah gol namun ditepis penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Mohd Khalid.

Walaupun kedua-dua pasukan saling mengatur serangan bagi mencari gol pendahuluan namun menyaksikan separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.

Memasuki babak kedua Selangor melakukan tukaran pemain dengan memasukkan Khuzaimi Piee dan Alif Haiqal Adam Afkar.

Ternyata keputusan itu tidak banyak membantu Selangor FC apabila mereka pula ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Juan Muniz pada minit 55 hasil lorongan Forestieri.

Skuad Harimau Selatan bagaikan kelaparan apabila 12 minit kemudian giliran Diogo mencetak nama sebagai penjaring gol untuk kedudukan 2-0.

Forestieri membuktikan dia sememangnya duri dalam daging buat pasukan lawan apabila menyumbat gol ketiga dan keempat ketika perlawanan berbaki 15 minit untuk kedudukan 4-0.

Kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan JDT terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super dengan 15 mata selepas mengharungi lima perlawanan manakala Selangor pula di tempat keempat apabila mengutip 10 mata setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 11:07 PM