Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbrukner lega selepas penantian pasukannya untuk melakar kemenangan pertama dan menamatkan kemarau jaringan berakhir.

Pada aksi keempat Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi, skuad Penyu menang tipis 1-0 hasil jaringan pemain pertahanan, Surdor Qulmatov pada minit ke-76.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Croatia berusia 57 tahun itu menegaskan, beliau belum mampu tersenyum lebar selepas jentera serangan pasukannya masih tumpul biarpun sudah melakukan rombakan.

Namun beliau percaya barisan penyerang akan bangkit pada aksi seterusnya terutama selepas pasukannya berjaya membuka 'akaun' gol pertama pada musim ini.

"Saya gembira kerana kami dapat mata penuh pada perlawanan keempat ini selepas tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan dan jaringan.

"Namun saya tidak berapa pasti jumlah peluang yang kami peroleh, namun saya gembira kerana mereka dapat cipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

"Habib Haroon beraksi dengan baik walaupun belum cergas 100 peratus, begitu juga dengan penyerang, Jordan Mintah, walaupun kedua-dua pemain itu kali pertama diturunkan pada musim ini yang biasanya sukar bagi mana-mana pemain, tapi mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik.

"Walau bagaimanapun perkara yang kurang ialah penyudah kita masih tumpul, ianya perlu digandakan lagi ketika sesi latihan untuk menghadapi perlawanan seterusnya terutama berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi kelima nanti," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan malam tadi.

Selepas empat perlawanan, TFC kini menghuni di tangga keenam liga dengan mengutip empat mata berbanding di kedudukan tercorot liga sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 4:32 PM