FAISAL Halim  (kiri) melakukan percubaan ke gawang KDA FC. FOTO Ghazali Kori
FAISAL Halim (kiri) melakukan percubaan ke gawang KDA FC. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tabik karakter pemainnya yang beraksi tenang dan cemerlang ketika mengekang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, semalam.

Jurulatih berusia 44 tahun itu berkata, walaupun anak buahnya kerap diasak terutama pada babak kedua selepas beraksi dengan sepuluh pemain, mereka tetap kental bertahan dengan strategi yang diatur menjadi selepas melakukan rombakan.

Katanya, pujian harus diberikan kepada pemain kerana memperagakan semangat juang yang tinggi untuk mara ke suku akhir berdepan pasukan Liga Perdana, Kuching City FC.

"Penuh dengan dugaan dan cabaran serta tugas sukar, namun karakter cemerlang dipamerkan pemain sukar digambarkan terutama dengan kehadiran ribuan peminat setia.

"Kata-kata semangat kepada pemain supaya beraksi mengikut taktikal dirancang dan menjalankan tugas masing-masing dengan berkesan serta saling bantu-membantu ketika beraksi dengan sepuluh pemain ternyata membakar semangat mereka.

"Alhamdulillah taktikal kita berhasil, tahniah kepada pemain yang memperagakan aksi bertenaga hingga wisel penamat ditiupkan walaupun saya akui mereka kepenatan terutama dengan jadual perlawanan Liga Super yang padat.

"Kunci kemenangan pada malam ini (semalam) adalah keinginan yang tinggi pemain untuk melangkah jauh dalam pentas Piala FA ini serta sokongan padu peminat setia membakar semangat mereka beraksi cemerlang walaupun kekurangan seorang pemain," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan.

Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal pemain sayap, Mohd Faiz Nasir pada minit keenam berjaya membawa skuad Penyu mara ke pentas suku akhir selepas merakam kemenangan 1-0.

Bagaimanapun, mereka terpaksa beraksi sepuluh pemain apabila pertahanan import, Pape Diakite dilayangkan kad merah pada minit ke-50 selepas mengasari penyerang lawan, Wanja Ngah.

Ketika ditanya sasaran selepas ini, bekas penyerang Terengganu itu menjelaskan pentas final menjadi impiannya walaupun sedar masih ada dua lagi laluan berliku di peringkat suku akhir dan separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 1:06 PM