AZAM (kiri) berusaha mempamerkan aksi terbaik untuk menambat hati barisan kejurulatihan skuad kebangsaan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
AZAM (kiri) berusaha mempamerkan aksi terbaik untuk menambat hati barisan kejurulatihan skuad kebangsaan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak Sri Pahang FC, Azam Azih menaruh harapan dia masih lagi mempunyai ruang dan peluang untuk menyarung jersi skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata, walaupun sudah hampir lima bulan tidak menyarung jersi skuad kebangsaan akibat kecederaan namun dia melihat 'jodohnya' bersama Harimau Malaya masih panjang.

Katanya, ketika ini dia berusaha mempamerkan aksi terbaik bersama skuad Sri Pahang dalam usaha menambat hati barisan kejurulatihan skuad kebangsaan untuk dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya.

"Saya boleh katakan kecederaan yang dialami sebelum ini mengganggu corak permainan sehingga bergelut untuk mendapatkan kembali prestasi.

"Melihat ramai pemain baharu dipanggil oleh jurulatih (Pan-gon) saya tidaklah melihat harapan untuk menyarung jersi Harimau Malaya tertutup cuma perlu lebih berusaha membuktikan kemampuan diri.

"Sekarang ini, sudah kembali daripada kecederaan dan terpulang kepada Pan-gon jika masih mahu menggunakan khidmat saya," katanya.

Mengikut rekod, kali terakhir pemain tengah negara itu menyarung jersi skuad Harimau Malaya adalah pada perlawanan saingan Piala Raja Thailand di Chiang Mai September tahun lalu.

Namun, pada saingan terbabit, prestasi Azam dikritik oleh penyokong bola sepak tempatan selepas dia dilihat agak longlai sehingga dilayangkan kad merah akibat mengasari pemain lawan.

Sejak daripada itu, nama Azam tidak lagi disenaraikan oleh Pan-gon namun dipercayai bukanlah disebabkan prestasinya namun lebih kepada kecederaan serius di bahagian lutut menyebabkan pemain itu terpaksa berehat panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 4:01 PM