TMJ ketika sidang media di Pusat Media Kelab Bolasepak JDT  semalam. FOTO Bernama
TMJ ketika sidang media di Pusat Media Kelab Bolasepak JDT semalam. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merekrut dua tonggak naturalisasi iaitu Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi sebagai satu kesilapan.

Jelas Tunku Ismail, beliau melihat perancangan jangka pendek badan induk itu dengan membuka peluang buat pemain naturalisasi bagi menyarung jersi skuad Harimau Malaya adalah langkah baik namun pemilihan pemain dilihat kurang tepat.

Katanya lagi, De Paula dan Liridon tidak sepatutnya dipanggil oleh pengendali negara, Kim Pan-gon dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil awal bulan ini kerana kedua-duanya jarang beraksi bersama kelab.

"Saya pun tidak faham mengapa jurulatih (Pan-gon) ambil Guilherme De Paula dan apa sebab dia terpilih. Saya dekat sini (di JDT) pun tidak menggunakan dia. Bagi saya, beliau (Pan-gon) perlu ada sikap lebih tanggungjawab dan bukan setakat ambil sesiapa sahaja daripada kelab ini.

"Saya rasa itu silap Persatuan Bolasepak Malaysia untuk menjadikan De Paula dan Liridon Krasniqi sebagai projek jangka masa pendek. Itu adalah satu kesilapan daripada pihak mereka," kata Tunku Ismail ketika mengadakan pertemuan santai bersama peminat di Johor, malam tadi.

De Paula dan Liridon antara tiga tonggak naturalisasi negara selain Mohamadou Sumareh yang terlebih dulu direkrut pada 2018 lalu sebelum diikuti dua tonggak berkenaan pada 2020 dan 2021.

Dalam kempen Kelayakan Piala Asia baru-baru ini, Liridon digugurkan pada saat akhir sementara De Paula gagal menyerlahkan sengatnya.

Sebaliknya dua tonggak tempatan iaitu Syafiq Ahmad dan Darren Lok yang juga penyerang berdarah warisan tampil lebih efektif di depan gawang dengan menyumbangkan beberapa gol buat skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 12:52 PM