FAIZUL Azlan dakwa di Mahkamah Majistret Georgetown atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kematian seekor kucing. FOTO Zuhainy Zulkiffli
FAIZUL Azlan dakwa di Mahkamah Majistret Georgetown atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kematian seekor kucing. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Penjual kuih didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kematian seekor kucing pada 31 Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Faizul Azlan Ridzuan, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kematian seekor kucing dengan cara memasukkan ke dalam guni dan mencampak ke dalam parit.

Kejadian didakwa dilakukan di Kota Giam, Jelutong dalam daerah Timur Laut pada 8.30 pagi, 31 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, Darrshini mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 sebelum peguam tertuduh memohon ikat jamin dikurangkan kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan mempunyai seorang tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 18 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 66 saat memaparkan beberapa individu mengambil sebuah guni dari dalam parit dan mendapati terdapat bangkai kucing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 1:35 PM