AKSI antara JDT dan Selangor semalam. FOTO Bernama
AKSI antara JDT dan Selangor semalam. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) , Esteban Solari tidak menolak barisan pemainnya terpaksa berdepan tugas rumit sebelum dapat menjinakkan Selangor FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Beliau berkata, aksi menentang skuad kendalian Tan Cheng Hoe bukan satu perlawanan mudah dan ia ibarat 'final' selepas beraksi dalam pentas final Piala FA menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) seminggu lalu.

"Ada ketika memang sukar untuk membuat persiapan bagi aksi menentang Selangor dan ia perlu kekuatan mental kerana pemain mengharungi detik mencabar pada aksi final Piala FA, tapi pemain membuktikan sesuatu dalam perlawanan malam ini (malam tadi) apabila kita menang.

"Kami mendominasi permainan seawal minit pertama sehingga berakhir perlawanan dan pasukan lawan hanya sekadar bertahan yang menyukarkan kami mencipta gol walaupun sudah merencana gerakan berbahaya memburu gol.

"Malah kami ada peluang untuk cipta gol menerusi percubaan Bergson dan kami bermain secara terbuka dengan melakukan serangan dari posisi sayap kiri dan kanan serta mencipta peluang menerusi Oscar (Arribas) di posisi kiri dan Heberty (Fernandes) yang beri impak positif di posisi serangan," katanya.

Pada perlawanan itu, JDT terpaksa menanti sehingga minit ke-78 untuk merungkai jaringan menerusi gol Fernandes sebelum Bergson menjaringkan gol penalti pada minit akhir permainan bagi memastikan skuad Harimau Selatan melakar kemenangan ke-18 berturut-turut dalam saingan liga.

Solari juga menepis persoalan barisan pemainnya bagaikan hilang sentuhan selepas tampak gagal melakukan umpanan yang tepat, sebaliknya pengendali kelahiran Argentina itu berkata JDT terpaksa menentang pasukan yang hanya menumpu bermain secara defending third sepanjang perlawanan.

Jelasnya, apabila JDT mendominasi permainan maka barisan pemain Selangor terpaksa mengamal corak berkampung di kawasan sendiri tatkala pemain JDT bermain secara pantas dan menyusun gerakan dan mengawal bola sehingga pasukan lawan langsung tidak mampu menghalang setiap pemain Harimau Selatan.

"Apabila berdepan situasi begitu, agak sukar menembusi tembok Selangor yang dibentuk di posisi pertahanan maka kami perlu merembat bola dari luar kotak penalti selain gerakan satu dan dua antara pemain kami.

"Berpunca dari serangan berterusan dan kesabaran pemain saya maka usaha untuk merobek gawang Selangor menemui penyelesaian dan ia penting kerana kami enggan aksi itu berkesudahan tanpa jaringan malah ia tidak adil kerana kami mendominasi perlawanan," katanya.

Mengulas mengenai kecederaan yang dialami selepas tonggak tengah Leandro Velazquez terpaksa diusung keluar, Solari mengakui agak resah dengan apa yang berlaku dalam skuadnya apabila masih kehilangan Fernando Forestieri dan Diogo.

"Belum pasti lagi tahap kecederaan Leandro dan bergantung kepada pegawai perubatan pasukan manakala Fernando mungkin akan pulih dalam tempoh enam minggu dan Diogo tampak semakin pulih dan perlu sekurang-kurang dua minggu lagi," kata solari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 11:32 AM