PEMAIN Penang FC bergambar sebelum perlawanan dalam  kejohanan Piala Harapan di Stadium Negeri Batu Kawan di sini. FOTO Danial Saad
PEMAIN Penang FC bergambar sebelum perlawanan dalam kejohanan Piala Harapan di Stadium Negeri Batu Kawan di sini. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof


Batu Kawan: Penang FC (PFC) bermula dengan langkah kanan apabila membenam pasukan dari Singapura, Geylang International FC, 4-0 pada pembukaan Kejohanan Piala Harapan 2023 di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini malam tadi.

Pengendalinya, Manzoor Azwira Abdul Wahid, berkata aksi pramusim itu adalah perlawanan persahabatan kelima diharungi skuad Harimau Kumbang dalam persiapan berdepan saingan Liga Super yang berbaki kira-kira tiga minggu lagi.

"Buat masa ini saya tidak begitu menitikberatkan keputusan memandangkan 90 peratus pemain adakah muka baharu dan saya juga masih mencuba kombinasi pemain dan kita nampak mereka menunjukkan peningkatan bagus meskipun banyak lagi aspek perlu diperbaiki.

"Saya juga mahu lebih realistik meletakkan sasaran dalam kedudukan 10 teratas pada musim ini dan tidak mahu memberi harapan sia-sia kepada penyokong apatah lagi harapan yang membuatkan pihak lain memberi tekanan kepada pasukan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Terdahulu PFC mengejutkan pasukan pelawat menerusi jaringan Azmeer Aris seawal minit kedua diikuti Rafael Vitor (m-28), Rahmat Makasuf (m-34) sebelum penyerang import kelahiran Brazil, Giovane Gomes meledak gol keempat tuan rumah pada minit ke-82.

Kejohanan Piala Harapan 2023 dengan format kalah mati itu mengumpulkan empat pasukan selain penganjur Penang FC serta dua lagi kelab yang bersaing dalam Liga Super iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC sehingga Sabtu ini.

Dalam pada itu, Manzoor berkata persiapan awal menerusi penganjuran perlawanan seumpama itu penting terutamanya dalam menguji jentera serangan dan pertahanan PFC menjelang aksi pertama Liga Super bertemu Kuala Lumpur City FC pada 25 Februari ini.

Beliau turut meluahkan kegusaran dalam pertembungan membabitkan yang menghuni enam tangga teratas Liga Super dalam empat perlawanan berikutnya termasuk Negeri Sembilan FC, Selangor FC, Sabah FC selain KL City FC yang mencipta sensasi apabila bergelar Naib Juara Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun lalu.

"Satu ujian besar dan di situ dan kita memerlukan kombinasi pemain yang perlu dirancang dan disusun dengan lebih terperinci untuk bertemu pasukan yang hebat berkenaan dan kita percaya kepada proses untuk merealisasikan perkara itu.

"Mana mungkin satu atau dua permainan sahaja kita boleh jadi satu pasukan yang lengkap, masih terlalu awal dan masih banyak yang perlu diperbaiki lebih baik kita bertindak daripada satu peringkat mendaki ke satu peringkat yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 4:18 PM