MORALES meledak jaringan ketiga Melaka ketika aksi persahabatan menentang FELDA United. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Melaka
MORALES meledak jaringan ketiga Melaka ketika aksi persahabatan menentang FELDA United. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Melaka
Nazri Abu Bakar

KEJAYAAN Melaka menewaskan FELDA United 4-0 pada aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput kelmarin amat melegakan buat pembantu jurulatihnya Mohd Noor Derus.

Baginya, keputusan terbabit menggambarkan pemain semakin serasi dengan susunan taktikal Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan dengan menterjemah corak permainan yang membanggakan.

Katanya, komitmen pemain juga begitu tinggi untuk beraksi pada tahap maksimum sekali gus menghasilkan keputusan yang positif sebagai persediaan sebelum aksi liga bermula berdepan Perak minggu hadapan.

Menurutnya, selepas tiga perlawanan dengan pasukan meraih 100 peratus kemenangan termasuk ketika bertemu PDRM dan UiTM FC sebelum ini, sudah pasti momentum berkenaan terus dituntut ketika berdepan 'The Bos Gaurus' kelak.

"Pada saya keserasian berkenaan diyakini mampu dikekalkan malah diharap tampil lebih baik pada perlawanan itu kelak terutama dalam misi meraih kutipan tiga mata penuh walaupun berdepan lawan di Ipoh.

"Namun, pemain harus terus kental untuk memantapkan persembahan sepanjang sesi latihan selepas ini berikutan ia amat diperlukan ketika berdepan saingan sebenar kelak," katanya.

Bekas jurulatih Terengganu City (TCFC) terbabit berkata, baki tujuh perlawanan buat skuad Hang Tuah amat berharga dalam memastikan kedudukan pasukan kembali mendaki carta berikutan kealpaan dan kelekaan boleh menyebabkan lawan mengambil kesempatan untuk memerangkap pasukan.

Gol-gol Melaka pada perlawanan berdepan FELDA di gelanggang sendiri terbabit disumbangkan menerusi Sonye Norde (m-8, 17) Uche Agba (m-11) dan Romel Morales (m-13) perlawanan.

Sementara itu, Zainal pula berkata terdapat peningkatan pada setiap perlawanan , justeru dia yakin pemain semakin bersedia untuk mengharungi perlawanan (Liga Super 2020) pada 28 Ogos ini.

"Bagi saya sepanjang 45 minit separuh masa pertama berdepan FELDA pemain menampilkan keserasian yang positif walaupun masih ada lagi sedikit sebanyak kesilapan-kesilapan yang perlu diperbaiki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 5:23 PM