AKSI Liridon  (tengah) ketika menentang kelab Liga Denmark, Odense Boldklub di Thailand semalam. FOTO TFC
AKSI Liridon (tengah) ketika menentang kelab Liga Denmark, Odense Boldklub di Thailand semalam. FOTO TFC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bintang baharu Terengganu FC (TFC), Liridon Krasniqi mahu mencipta legasi bersama skuad Penyu selepas sah menyertai pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain naturalisasi negara itu berpindah ke TFC secara pinjaman selama semusim daripada juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Liridon menerusi laman Instagram miliknya mengakui gembira dapat kembali ke kancah Liga M selepas kira-kira dua tahun berkelana di liga luar negara.

"Terima kasih atas sambutan hangat pemain dan kakitangan Terengganu FC. Gembira berada di sini, dalam kelab besar. Tiada apa yang perlu diperkatakan. Ayuh cipta legasi. Matdon sudah kembali," tulis Liridon di Instagram Story miliknya.

Liridon bukan nama asing untuk kancah Liga M dengan dia mula beraksi dalam saingan itu bersama Kedah pada 2015 hingga 2019.

Malah, pemain tengah berusia 31 tahun itu mencipta nama bersama Kedah dengan memenangi beberapa gelaran termasuk juara Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017 bersama Sang Kenari.

Dia kemudian beraksi bersama Melaka dalam saingan Liga Super pada 2019 sebelum menyertai skuad JDT.

Liridon yang turut dikenali sebagai Matdon pernah dipinjamkan kepada kelab Australia, Newcastle Jets pada 2021 sebelum berpindah ke kelab Odisha (India) dan Khon Kaen United (Thailand).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 3:43 PM