SIKH Izhan ingin mencontohi Ahmad Syihan bersama Negeri Sembilan. FOTO Ihsan NSFC
SIKH Izhan ingin mencontohi Ahmad Syihan bersama Negeri Sembilan. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas hampir dua bulan menjalani latihan bersama skuad Negeri Sembilan FC (NSFC), penjaga gol baharu skuad itu, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, semakin yakin dengan prestasi dan persembahannya.

Biarpun hadir sebagai pemain pinjaman daripada skuad Selangor FC, namun pemain berusia 21 tahun itu sedar betapa dia perlu menunjukkan kesungguhan tinggi untuk cepat mencapai prestasi terbaik.

Ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini hanya berbaki tidak sampai tiga minggu, Izhan Nazrel berharap peluangnya untuk muncul selaku penjaga gol utama pasukan Negeri Sembilan, tercapai.

"Saya dipinjamkan dari kelab Selangor FC dan secara peribadi melihat ia adalah peluang terbaik untuk mendapatkan minit permainan yang lebih baik selain menimba pengalaman untuk meningkatkan lagi tahap persembahan.

"Peluang ini saya akan gunakan dengan sebaik mungkin untuk mencapai tahap prestasi yang baik selain membantu pasukan baharu ini melakar kejayaan lebih cemerlang dalam Liga M musim ini," katanya di sini, hari ini.

Izhan Nasrel adalah antara sebahagian daripada 12 pemain baharu yang dibawa masuk ke dalam skuad Hobin Jang Hobin, dalam perubahan yang dilakukan kelab NSFC bagi menghadapi saingan Liga M musim ini.

Pemain muda berasal dari Pulau Pinang itu berkata, dia berharap dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaga gol utama Negeri Sembilan sebelum ini iaitu, Ahmad Syihan (Hazmi Mohamad).

Menurutnya, walaupun akui bukan suatu yang mudah untuk mendapatkan posisi berkenaan kerana perlu bersaing dengan penjaga gol berpengalaman antaranya Kaharuddin Abdul Rahman dan Mohd Muhaimin Mohamad, namun dia akan terus berusaha untuk menuju ke arah itu.

"Sebagai pemain muda, saya perlu bekerja keras meningkatkan prestasi dan persembahan bukan semata-mata ingin mendapatkan kedudukan dalam kesebelasan utama, tetapi lebih penting dapat membantu menjayakan misi pasukan.

"Setakat ini, saya dapat rasakan perubahan dalam persembahan dan yakin ia akan memberi peluang kepada saya untuk memberikan yang terbaik kepada Negeri Sembilan musim ini," katanya yang menerima pujian ketua jurulatih K Devan, ketika aksi persahabatan menentang Terengganu FC, minggu lalu.

Izhan Nazrel juga akui bimbingan daripada rakan dan pemain berpengalaman dalam pasukan itu antaranya Mohamad Zaquan Adha, Nasrullah Hanif (Johan) dan Muhaimin sendiri, menambahkan lagi keyakinannya untuk mengawal gawang.

"Saya anggap sokongan jurulatih sebagai suatu motivasi dan tak boleh ambil selesa sebaliknya akan terus fokus bagi memantapkan lagi persembahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 5:38 PM