SIKH Izhan ketika beraksi menentang Penang FC, Rabu lalu. FOTO Ihsan NSFC
SIKH Izhan ketika beraksi menentang Penang FC, Rabu lalu. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) harus menarik nafas lega apabila dilaporkan penjaga gol muda pasukan itu, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil.

Pemain berusia 20 tahun itu terpaksa diusung keluar padang akibat pertembungan dengan pemain Penang FC, dalam aksi Liga Super, di tempat lawan, Rabu lalu.

Ketua jurulatih, K Devan, mengesahkan situasi Sikh Izhan tidak membimbangkan dan boleh menjalani latihan, namun sama ada dia dapat diturunkan atau sebaliknya ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, di laman sendiri Isnin nanti, masih belum dapat ditentukan.

"Keadaan Sikh Izhan masih stabil, tapi memerlukan pengawasan antara satu atau dua hari.

"Selepas itu, baru kita akan dapat tentukan sama ada dia boleh diturunkan atau sebaliknya pada perlawanan menentang JDT di tempat sendiri, Isnin nanti," katanya ketika ditemui media di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, lewat petang tadi.

Pada perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan menentang Penang FC di gelanggang lawan, Rabu lalu, penjaga gol itu dilaporkan diusung keluar dari kawasan padang dipercayai bertembung dengan pemain lawan.

Sikh Izhan dikatakan dibawa oleh ambulans ke hospital untuk menerima rawatan namun keadaannya ketika itu dilaporkan stabil.

Perlawanan kedua Liga Super bagi kedua-dua pasukan itu berkesudahan seri tanpa jaringan.

Sementara itu, menerusi satu hantaran di Instagram Story hari ini, Sikh Izhan memaklumkan dia dapat kembali bersama pasukan dan bersedia menjalani latihan sekali gus memberi bayangan akan beraksi dalam perlawanan menentang JDT, Isnin nanti.

"Back to work (kembali beraksi)," tulisnya pada sekeping foto.

Namun dengan keadaan penjaga gol skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu yang mungkin masih belum pulih sepenuhnya, ada kemungkinan dia kembali menjalani latihan padang seperti biasa, tetapi belum tentu mendapat tahap kecergasan terbaik menjelang pertembungan dengan skuad Harimau Selatan.

Negeri Sembilan hampir pasti mengharapkan khidmat Sikh Izhan pada perlawanan ketiga liga menentang JDT itu, selepas skuad Hobin Jang Hobin sekadar mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 9:29 PM