SIKH Izhan berpindah ke pasukan negeri kelahirannya Penang FC. FOTO Ihsan NSFC
SIKH Izhan berpindah ke pasukan negeri kelahirannya Penang FC. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) kehilangan khidmat Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, apabila penjaga gol muda itu bakal beraksi bersama Penang FC pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pemain berusia 21 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu sebelum ini dipinjamkan daripada Selangor FC dan berjaya membantu Negeri Sembilan menamatkan saingan Liga Super di tangga kesembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, mengesahkan Sikh Izhan Nazrel tidak lagi bersama skuad Hobin Jang Hobin bagi menghadapi kempen Liga M musim ini.

"Sikh Izhan Nazrel berpindah ke Penang secara pinjaman dari Selangor. Dia seorang penjaga gol yang baik. Kelab mengucapkan terima kasih kepadanya atas sumbangan yang telah diberikan kepada Negeri Sembilan.

"Justeru itu kita akan mencari pemain lain bagi menggantikan tempat beliau," katanya di sini, hari ini.

Sepanjang bersama Negeri Sembilan, Sikh Izhan menggalas tugas selaku penjaga gol utama dan diturunkan hampir kesemua perlawanan yang dilalui pasukan itu kecuali beberapa perlawanan yang digalas Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.

NSFC yang sedang dalam persiapan membentuk pasukan baharu dan mantap setakat ini sudah mengekalkan lima pemain tempatan iaitu Zainal Abidin Jamil, Izzudin Roslan, N Javabilarivin, R Aroon Kumar dan ketua pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 7:29 PM