BARISAN pemain skuad Melaka United berdepan isu tunggakan gaji. FOTO FOTO Syafeeq Ahmad
BARISAN pemain skuad Melaka United berdepan isu tunggakan gaji. FOTO FOTO Syafeeq Ahmad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan 47 bekas pemain dan pegawai pasukan Kuantan FA dan Marcerra United mendapatkan tunggakan gaji selepas empat tahun akan dijadikan azimat dan panduan buat bekas anggota skuad Melaka United yang sedang berdepan masalah sama ketika ini.

Perjuangan menuntut tunggakan berjumlah RM6 juta sejak 2018 itu nyata memberi keyakinan buat bekas tonggak Melaka United, Hasbullah Abu Bakar menuntut haknya termasuk mengheret pengurusan pasukan ke muka pengadilan seperti mana dilakukan bekas pemain Kuantan FA dan Marcerra United yang membawa kes berkenaan ke Mahkamah Sivil.

Kata Hasbullah, dia bersama rakan-rakan yang lain tidak akan membiarkan pihak pengurusan lama 'lepas tangan' dan akan terus memburu mereka.

"Kami takkan diam diri. Saya dan kawan-kawan sebenarnya percaya masalah tunggakan gaji ini boleh diselesaikan.

"Sekarang pun kami tengah menunggu langkah seterusnya yang boleh diambil dan pegawai PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) sedang bertindak sewajarnya.

"Apa yang pemain Kuantan FA dan Marcerra United lakukan itu adalah bukti bahawa sebenarnya isu ini boleh diselesaikan. Jadi kami kena bersabar dan ikut segala prosedur.

"Tapi saya ingin katakan, saya dan kawan-kawan takkan berdiam diri dan kami sedia ambil langkah sama bawa hingga ke Mahkamah Sivil untuk tuntut hak kami," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan kejayaan perjuangan 47 anggota skuad Kuantan FA dan Marcerra United berakhir dengan kegembiraan apabila kes itu dapat diselesaikan.

Kes yang diheret ke mahkamah hingga ke peringkat prosiding komital itu, menyaksikan seorang Datuk Seri yang juga pemilik dua kelab terbabit tampil menyelesaikan hutang berkenaan, dengan Datuk Seri itu berpotensi dipenjarakan jika gagal melunaskannya.

Menurut Peguam bela yang mewakili anggota skuad Kuantan FA dan Marcerra United, Suhail Rahimi, Datuk Seri itu sudah menjelaskan bayaran empat bulan berjumlah hampir RM2 juta, manakala selebihnya akan diselesaikan secara berperingkat sehingga hujung Mac ini.

Malah hasil kejayaan itu, bekas ketua pasukan Kuantan FA, Abdul Ghani Abd Rahman menasihatkan buat pemain-pemain yang sedang berdepan isu tunggakan gaji agar tabah dan tidak mudah menyerah kalah.

Ujar Hasbullah lagi, dia sendiri beberapa kali cuba menghubungi pengurusan lama Melaka United namun tiada jawapan.

"Saya juga ada minta bantuan Persatuan Bolasepak Melaka tapi mereka juga berdiam diri. Saya dan kawan-kawan kecewa dengan sikap lepas tangan mereka, tapi jangan ingat yang mereka boleh lepas.

"Kami akan berjuang dapatkan hak kami, walaupun mungkin kena tunggu lama macam pemain Kuantan FA selama empat tahun, tak mengapa kami akan tetap tuntut," katanya.

Ketika ini, hangat tentang kegagalan pengurusan Melaka United dan Sarawak United menjelaskan tunggakan hutang pemain sejak musim lalu yang berjumlah RM2.3 juta dan lebih RM400,000 yang didedahkan oleh PFAM bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 4:16 PM