Firdaus Hashim

Shah Alam: "Kami dah banyak menderita sejak 2018. Saya harap mereka tampil ambil tanggungjawab.

"Itu nada kecewa bekas pemain Marcerra United, Izer Hamkha Mohd Haizal yang mahu mengheret pemilik kelab Marcerra United ke muka pengadilan selepas bersabar hampir tiga tahun berikutan tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan.

Katanya, dia dan bekas rakan sepasukan bukan saja tiada sumber pendapatan, malah mereka turut kehilangan kereta dan rumah kerana isu itu yang akhirnya menyaksikan semua pemain memilih untuk menggantung but.

"Ia kenangan gelap dalam hidup kami sebagai pemain bola sepak yang takkan dilupakan sampai bila-bila.

"Saya pun lepas isu itu dah tak main bola, kawan-kawan dalam pasukan lama semuanya pun dah tak main bola juga. Lebih baik buat kerja lain daripada main bola.

"Kami nak tuntut hak kami yang dah tiga tahun tergantung. Kami dah ikut segala prosedur dan sekarang kami serahkan kepada peguam untuk selesaikannya," katanya pada sidang media bersama peguamnya hari ini.

Sementara itu, menurut peguam yang dilantik, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak, pihaknya bakal mengheret dua pasukan iaitu Marcerra United dan Kuantan FA ke mahkamah membabitkan isu tunggakan gaji sejak 2018 lalu.

Menurutnya, Marcerra United berhutang sebanyak RM313,606 membabitkan 21 pemain dan lima pegawai serta Kuantan FA dengan nilai sejumlah RM590,125 yang dituntut 26 pemain dan tujuh pegawai pasukan.

Peguam, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak (dua dari kanan) dan Nuradiba Zarkasya (dua dari kiri) bersama bekas pemain Kuantan FA, Abdul Ghani Abd Rahman (kiri) serta bekas pemain Marcerra United FC, Izer Hamkha Mohd Haizal (kanan) pada sidang media isu tunggakan gaji sejak tahun 2018 di Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Peguam, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak (dua dari kanan) dan Nuradiba Zarkasya (dua dari kiri) bersama bekas pemain Kuantan FA, Abdul Ghani Abd Rahman (kiri) serta bekas pemain Marcerra United FC, Izer Hamkha Mohd Haizal (kanan) pada sidang media isu tunggakan gaji sejak tahun 2018 di Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

"Kami beri tempoh selama 14 hari buat mereka tampil ke depan bagi kita berbincang untuk selesaikan isu ini.

"Kes ini dah lama, walaupun FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sudah mengeluarkan arahan untuk mereka bayar, tetapi pasukan terbabit tetap gagal, malah langsung tak menghubungi pemain dan pegawai.

"Mereka ini bukan masuk main bola untuk seronok-seronok, tetapi ini adalah kebergantungan pegawai dan bekas pemain terhadap gaji.

"Kita nampak macam wujudnya tingkah laku penipuan dan sebab itu kita akan mengambil langkah undang-undang jika mereka tak tampil dalam tempoh 14 hari dari hari ini (semalam)," kata Suhail.

Pada 2018 lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan isu tunggakan gaji selepas dua kelab iaitu Marcerra United dan Kuantan FA menarik diri daripada saingan Liga Perdana.

Lebih memburukkan lagi keadaan, pasukan Kuantan FA pernah memboikot aksi menentang PDRM di Stadium Shah Alam pada 15 April 2018 sebagai tanda protes kegagalan pengurusan membayar gaji sejak awal musim.

Mengulas kenangan pahit itu, bekas ketua pasukan Kuantan FA, Abdul Ghani Abd Rahman mengakui simpati dengan pemain muda yang terpaksa melupakan impian untuk bergelar pemain bola sepak.

"Dulu dalam pasukan kami, ramai pemain muda yang bagus-bagus. Tapi bila dah jadi isu macam ini, ramai antara mereka yang dah tak mahu main bola lagi. Selagi masalah tunggakan gaji ini tak selesai, saya tak rasa bola sepak kita akan maju sampai bila-bila," kata Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 8:04 PM