SUHAIL Rahimi (dua kanan) pada sidang media sebelum ini. bersama bekas pemain Kuantan FA dan Marcerra United FC. FOTO Faiz Anuar
SUHAIL Rahimi (dua kanan) pada sidang media sebelum ini. bersama bekas pemain Kuantan FA dan Marcerra United FC. FOTO Faiz Anuar
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perjuangan menuntut hak selama empat tahun akhirnya menghadirkan senyuman apabila 47 bekas pegawai dan pemain Kuantan FA serta Marcerra United berjaya meraih tunggakan gaji daripada bekas pemilik kelab terbabit.

Kes yang sudah diheret ke mahkamah hingga ke peringkat prosiding komital yang berpotensi memenjarakan seorang Datuk Seri menyaksikan beliau tampil membayar tunggakan gaji selama empat bulan yang berjumlah sebanyak RM2 juta pada Disember lalu.

Dijangka pada Mac ini, baki jumlah tunggakan akan diselesaikan secara penuh sekali gus hadiah terbaik buat pemain menyelesaikan komitmen hutang, persediaan sesi persekolahan buat anak-anak pada Mac ini serta persediaan menjelang sambutan Aidilfitri hujung April nanti.

Berita gembira itu dikongsikan peguam bela yang mewakili bekas anggota skuad dua kelab terbabit, Suhail Rahimi kepada Arena Metro.

"Berita baik adalah pemain-pemain sudah mendapat RM500,704.50 pada penghujung Disember 2022 lalu.

"Mahkamah pula sudah menetapkan tarikh perbicaraan pada 31 Januari lalu (kelmarin), dan beliau (bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United) bersama peguamnya hadir dan menyelesaikan kes ini secara damai, di mana satu cek tertunda bertarikh 2 Mac 2023 bernilai 1.4 juta sudah diserahkan kepada pihak kami sebagai satu penyelesaian penuh.

"Namun begitu pihak-pihak perlu menunggu sehingga Mac untuk bagi memastikan penyelesaian ini adalah muktamad.

"Kami menerima penyelasaian secara damai ini secara hati terbuka memandangkan pihak kelab ingin membuat penbayaran secara 'lump sum'. Ia adalah lebih baik memandangkan rata-rata bekas pemain dan pegawai sudah menunggu untuk satu tempoh yang lama dah pelbagai faktor sudah diteliti sebelum kami menutup buku," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi laporan eksklusif akhbar ini sejak tahun lalu, seorang bekas pemilik kelab Kuantan FA dan Marcerra United bergelar Datuk Seri berdepan risiko dipenjarakan selepas didakwa dengan sengaja ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berjumlah lebih RM6 juta membabitkan 47 individu terdiri daripada bekas pemain dan pegawai pasukan Kuantan FA dan Marcerra United.

Tindakan pelaksanaan melalui prosiding komital terhadap defendan itu diambil kerana pihak yang terbabit gagal dan cuai dalam mematuhi perintah mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, bekas pemain Kuantan FA menuntut sejumlah RM3 juta, manakala bekas pegawai pula sebanyak RM1.2 juta yang sangkut sejak 2018 lalu.

Tuntutan sama juga turut dibuat bekas pemain dan pegawai Marcerra United dengan anggaran keseluruhan RM2 juta, untuk menjadikan nilai keseluruhan lebih RM6 juta yang perlu diselesaikan pengurusan kelab terbabit.

Untuk rekod, kes Kuantan FA dan Marcerra United ini adalah kes pertama yang mendapat campur tangan bidangkuasa Mahkamah Sivil dan usaha yang ditunjukkan bekas pemain dan pegawai semenangnya membuahkan hasil apabila kes tunggakan gaji berjaya diselesaikan secara damai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 6:17 PM