MBAPPE mengerang kesakitan akibat kecederaan kaki kanan. FOTO AP
MBAPPE mengerang kesakitan akibat kecederaan kaki kanan. FOTO AP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain (PSG) melebarkan kedudukan mereka di puncak Ligue 1 dengan kemenangan 3-1 ke atas Montpellier tetapi kejayaan mereka dibayangi kecederaan Kylian Mbappe, yang sebelum itu gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Bintang Perancis itu mengambil sepakan penalti pada minit kelapan namun diselamatkan oleh penjaga gol Montpellier, Benjamin Lecomte dan kemudian menyaksikan percubaan kali keduanya turut digagalkan selepas pengadil mengarahkan sepakan semula.

Mbappe kemudian terhincut-hincut dengan kecederaan hamstring pada pertengahan separuh masa pertama, meningkatkan keresahan buat PSG menjelang perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich 15 Februari ini.

Bercakap selepas perlawanan, jurulatih Christophe Galtier mengagak kecederaan itu disebabkan oleh hentakan dan bukannya masalah otot.

"Dia mendapat hentakan di belakang lutut atau belakang paha, jadi kita akan lihat," kata Galtier.

"Saya tidak terlalu bimbang. Dengan jumlah perlawanan kami perlu lalui saya tidak mahu mengambil risiko tetapi ia tidak kelihatan begitu serius."

PSG menerima kunjungan Bayern di Paris pada 14 Februari, dengan perlawanan kedua di Jerman pada 9 Mac.

Mereka terdesak untuk mengelak pengulangan musim lalu apabila tersingkir pada peringkat yang sama Liga Juara-Juara ketika berdepan Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 9:40 AM