NEYMAR cemerlang ledakkan dua gol buat PSG. -FOTO AFP
NEYMAR cemerlang ledakkan dua gol buat PSG. -FOTO AFP
AFP

Paris: Neymar meneruskan permulaan cemerlang musim ini dengan meledakkan dua gol manakala Kylian Mbappe turut mencetak nama sebagai penjaring ketika Paris Saint-Germain menewaskan Montpellier 5-2 dalam saingan Ligue 1.

Neymar menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan PSG 2-0 sebelum masa rehat di Parc des Princes selepas jaringan sendiri Falaye Sacko meletakkan mereka di depan.

Pemain Brazil itu kemudiannya menanduk masuk gol kedua dan ketiga PSG sejurus selepas rehat, menjadikan jumlah golnya untuk musim ini kepada lima selepas tiga perlawanan.

Wahbi Khazri kemudiannya menyumbat masuk satu gol untuk Montpellier sebelum Mbappe menjadikan kedudukan 4-1 dan pemain baharu Renato Sanches yang masuk dari bangku simpanan menjaringkan gol kelima pada lewat perlawanan.

Enzo Tchato meraih satu lagi gol saguhati buat pelawat selepas masa tambahan bagaimanapun tidak merubah keadaan yang menyaksikan PSG kini mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut musim ini di bawah kendalian jurulatih baharu, Christophe Galtier dengan 14 gol setakat ini.

Neymar meneruskan rentak konsisten daripada musim lalu apabila menjaringkan sembilan gol dalam sembilan perlawanan terakhir Ligue 1.

Biarpun sering dibelenggu masalah kecergasan sejak tiba di Paris pada 2017 dia akhirnya kelihatan mula cergas.

Sebaliknya Mbappe yang bermain perlawanan kompetitif pertama sejak mengumumkan lanjutan kontrak tiga tahun bersama PSG seterusnya menafikan perpindahan ke Real Madrid itu masih lagi dalam proses kebangkitan.

"Secara fizikalnya kami tahu kekurangan masa permainan pada aksi pra musim akan merugikannya," kata Galtier apabila ditanya mengenai prestasi dan sikap Mbappe dengan pemain berusia 23 tahun itu kelihatan kecewa selepas tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 10:40 AM