GERALD diumum sebagai pemain baru Kelantan FC. FOTO IHSAN TRW KELANTAN FC
GERALD diumum sebagai pemain baru Kelantan FC. FOTO IHSAN TRW KELANTAN FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pasukan Kelantan FC menyenaraikan Gerald Gadit sebagai pengemudi benteng pertahanan bagi musim 2023.

Gerald, 24, menjadi pemain pertama diumumkan skuad milik Norizam Tukiman yang sebelum ini mengambil sikap 'hero tak gaduh' meskipun pasukan lain giat memperkenalkan pasukan musim ini.

Pemain kelahiran Sabah yang beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya musim lalu pernah menyarung jersi skuad Bawah 23 Tahun negara.

Ubi muda itu berkelana ke Kelantan bagi memburu lebih banyak minit perlawanan selepas hanya diturunkan sebanyak lapan kali dalam saingan Liga Malaysia 2022.

Selain Gerald, Kelantan FC masih berteka-teki berhubung jawatan ketua jurulatih dan pemain import mereka.

Laman sosial Facebook, TRW Kelantan FC dilihat hanya berkongsi bayangan pasukan itu bakal mendapatkan DNA Korea Selatan bagi jawatan utama skuad Kijang Merah.

Ini kerana, laman rasmi pasukan membuat hantaran selamat datang dalam bahasa Korea merujuk kepada jawatan Ketua Jurulatih dan Jurulatih Kecergasan sejak semalam.

Kelantan FC sebelum ini mengambil sikap menunggu dahulu walaupun aksi musim 2023 menghampiri sepak mula pada hujung Februari.

Pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Perdana tahun lalu lebih berkongsi persiapan perlawanan pemanas badan termasuk bertemu Buriram United sempena aksi ASEAN Charity Shield 2023 di Songkhla, Thailand.

Pengurus Operasi pasukan, Abdull Afiq Manaf berkata, enam perlawanan pemanas badan bermula pertengahan Januari digunakan untuk menilai prestasi pemain dan import sebelum diserapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 8:35 PM