ICARDI (dua dari kanan) melakukan voli ke arah pintu gol lawan.
ICARDI (dua dari kanan) melakukan voli ke arah pintu gol lawan.

Milan: Mauro Icardi muncul pendahulu penjaring terbanyak Serie A dengan 14 gol apabila menyumbat dua gol ketika menang 3-0 ke atas Lazio yang mencetus kegembiraan penyokong Inter Milan menjelang cuti perayaan.

Icardi membantu melakar kemenangan keempat berturut-turut Inter, manakala bos Lazio Simone Inzaghi bingung dengan kealpaan babak kedua.

“Pasukan seperti kami tidak boleh melepaskan tiga gol dalam tempoh 11 minit,” katanya.

Lazio bertandang ke San Siro memburu kemenangan yang akan melonjakkan anak buah Inzaghi ke tangga kedua, lima mata di belakang pendahulu Juventus.

Namun pelawat, yang menang kedua-dua aksi menentang Inter musim lalu, gagal menggunakan kesempatan pada babak pertama apabila Ciro Immobile dan Felipe Anderson hampir memecah kebuntuan.

Lazio dihukum dalam tempoh 11 minit babak kedua, pertama apabila pemain tengah Argentina Ever Banega mengambil kesempatan berikutan kesilapan pertahanan Sergej Milinkovic-Savic sebelum mengatasi Federico Marchetti dengan rembatan kencang.

Icardi menanduk masuk gol kedua Inter dua minit kemudian. Penyerang Argentina itu mendahului dua gol di depan penyerang AS Roma, Edin Dzeko dan Andrea Belotti dari Torino dalam senarai penjaring terbanyak Serie A hanya sembilan minit kemudian dengan gol keduanya.

Inter kekal di tangga ketujuh namun kemenangan kesembilan kempen dan keempat dalam enam perlawanan di bawah jurulatih baharu Stefano Pioli membolehkan mereka merapatkan jurang dengan Juventus, yang akan berdepan AC Milan di Doha pada aksi Piala Super Itali hari ini, kepada 12 mata. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 11:25 AM