KANVAS yang menutupi padang SNBJ. FOTO Perbadanan Stadium Malaysia
KANVAS yang menutupi padang SNBJ. FOTO Perbadanan Stadium Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiga kanvas putih dan dua kanvas merah menjadi 'penyelamat' apabila permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berjaya ditutupi susulan hujan lebat yang menghujani Lembah Klang ketika ini.

Hujan lebat yang turun pada jam 4.45 petang itu menimbulkan sedikit kebimbangan di kalangan pemerhati termasuk Arena Metro yang sudah berada di SNBJ bagi membuat liputan aksi Piala AFF antara skuad Harimau Malaya dan Singapura pada malam ini.

Kebimbangan itu hadir kerana bimbang permukaan padang boleh bertukar becak jika tidak ditutupi dengan kanvas.

Begitupun tindakan pantas pegawai bertugas di SNBJ, menyaksikan keseluruhan kawasan padang berjaya dilindungi sekali gus melegakan pihak tuan rumah yang sebelum ini teruk dikecam ekoran isu itu.

Pada Jun lalu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dikritik apabila gagal menyediakan kemudahan terbaik hingga menyebabkan padang bertukar menjadi bendang ketika aksi Kelayakan Piala Asia waktu itu.

Untuk rekod, pada aksi kedua Kumpulan B Piala AFF menentang Laos sebelum ini, PSM menggunakan kanvas gergasi yang dipinjamkan oleh pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketika itu, hujan juga turun namun ia tidak selebat petang ini yang diselangi dengan kilat dan guruh.

Sementara itu, tinjauan di sekitar perkarangan SNBJ menunjukkan pergerakan penyokong agak suram mungkin disebabkan oleh hari perlawanan yang berlangsung pada hari bekerja.

Dijangka, selepas jam 7 petang ini, kehadiran penyokong bertambah di mana sejumlah 56,742 tiket (setakat jam 6 petang hari ini) sudah terjual.

Aksi terakhir Malaysia dalam peringkat Kumpulan B ini adalah aksi hidup mati bagi menentukan hala tuju pasukan negara.

Anak buah Kim Pan-gon wajib menang ke atas Singapura bagi mengesahkan tiket ke separuh akhir, dikala lawan hanya memerlukan satu mata untuk mara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 6:18 PM