PEKERJA sedang menutup permukaan padang di SNBJ. -FOTO FAM
PEKERJA sedang menutup permukaan padang di SNBJ. -FOTO FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bagi memastikan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada pada tahap terbaik menjelang aksi kedua Kumpulan B Piala AFF antara Malaysia dan Laos berjalan lancar, Johor Darul Ta' zim (JDT) tampil menghulurkan bantuan.

Bentuk bantuan yang dihulurkan JDT ialah dengan meminjamkan kanvas gergasi bagi menutup permukaan padang di SNBJ jika hujan turun sebelum aksi itu.

Ucapan terima kasih itu dizahirkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa menyokong pasukan kebangsaan.

"Junjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas kesudian baginda meminjamkan kanvas bagi menutup permukaan padang menjelang perlawanan kedua Kumpulan B, Piala AFF, Malaysia lawan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 8.30 malam ini.

"Ia bagi memastikan keadaan padang terpelihara dan berada dalam kondisi baik untuk digunakan sepanjang 90 minit permainan memandangkan keadaan cuaca yang mana hujan hampir setiap hari di Lembah Klang terutama pada waktu petang dan malam.

"Diharap langkah proaktif yang diambil ini dapat memastikan padang berada pada keadaan yang memuaskan, sekali gus menghidangkan perlawanan menarik buat para penyokong Harimau Malaya yang bakal ke stadium, malam ini," kata kenyataan itu.

Untuk rekod, padang SNBJ sering mendapat kritikan susulan isu permukaan padang khususnya selepas hujan turun dengan lebatnya.

Sebagai contoh, ketika aksi Kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Bahrain Jun lalu, menyaksikan imej negara tercemar selepas padang SNBJ seolah bertukar menjadi 'sawah' ekoran air bertakung di segenap padang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 2:35 PM