KANVAS gergasi yang digunakan di padang Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO AIZUDDIN SAAD
KANVAS gergasi yang digunakan di padang Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persediaan cukup rapi dan bijak dilakukan penganjur final Piala Malaysia apabila berjaya menyediakan kanvas gergasi bagi menjaga permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ekoran hujan yang turun pada jam 2 petang tadi.

Tindakan itu pastinya memberi kebaikan buat finalis Piala Malaysia iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC untuk mempamerkan aksi terbaik pada aksi itu nanti.

Tindakan itu jelas satu keputusan yang tepat bagi mengelak permukaan padang menjadi seperti 'sawah' sekiranya hujan turun pada malam ini.

Malah, ia juga dapat mengelak insiden ketika Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lalu berulang kembali apabila skuad negara terpaksa beraksi dalam keadaan padang yang becak.

Susulan insiden itu, SNBJ teruk dikecam oleh peminat tempatan dan luar negara.

Sebagai rekod, pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah mengambil langkah proaktif apabila meminjamkan kanvas untuk menutup padang SNBJ sebelum final Piala FA 2022, September lalu.

Sebelum ini, padang SNBJ rosak teruk pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 sekali gus menyebabkan tindakan drastik dilakukan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk memperbaikinya.

Malah, situasi terbabit turut mengundang pelbagai kecaman pelbagai pihak kerana stadium berharga ratusan juta ringgit itu tidak perlu berhadapan masalah terbabit hingga terpaksa menggunakan penyodok untuk membuang air bertakung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 4:54 PM