TAN Cheng Hoe. FOTO Aizuddin Saad
TAN Cheng Hoe. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC ternyata serius mahu menyiapkan pasukan lebih mantap dan sistematik pada saingan Liga Super musim depan apabila merancang mengadakan kem pra-musim di luar negara pada awal Januari ini.

Pengendalinya, Tan Cheng Hoe memaklumkan ketika ini terdapat tiga negara menjadi destinasi pilihan skuad Gergasi Merah iaitu kemungkinan mengadakan latihan pra-musim di Thailand, Kemboja atau Vietnam.

Beliau berkata, sesi latihan di luar negara cukup penting terutama apabila mengadakan perlawanan persahabatan bersama kelab tempatan dalam usaha memperbaiki kelemahan pasukan supaya tampil lebih menyakinkan kelak.

"Sekarang ini kita belum lagi mengadakan sesi latihan kerana kebanyakan pemain utama mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan sekali gus mungkin akan memanggil mereka pada awal Januari ini.

"Mengikut perancangan sememangnya mahu mengadakan sesi latihan pra-musim di luar negara namun setakat ini belum ada kata putus kerana masih lagi dalam perbincangan dengan pihak pengurusan.

"Kita memilih tiga negara itu (Thailand, Kemboja atau Vietnam) kerana dalam perancangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama kelab tempatan supaya dapat memperbaiki lagi kelemahan pasukan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Selangor mengakhiri saingan Liga Super musim 2022 di tempat kelima menerusi 30 mata sekali gus mengekalkan pencapaian 2021.

Pencapaian terbaik pada musim ini adalah berjaya melangkah ke pentas final Piala Malaysia namun tumpas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-1.

Sementara itu, kehadiran tiga pemain baharu iaitu Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran dilihat sebagai penambah 'perasa' dalam skuad Gergasi Merah untuk lebih menyakinkan kelak.

"Kehadiran tiga pemain ini dapat mengisi kelompongan yang ada dalam pasukan selain mampu memperkuatkan lagi jentera serangan dan barisan pertahanan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 4:49 PM